KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka tidak dapat mengawal media tentang cara membuat laporan berkaitan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membangkitkan perkara itu selepas peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat aduan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berhubung artikel yang diterbitkan pelbagai media tempatan baru-baru ini yang dikaitkan dengan anak guamnya.

Muhammad Shafee merujuk artikel Selasa lepas yang mengaitkan Najib dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan berkata artikel itu bersifat prejudis dan laporannya tidak adil kerana daripada US$681 juta, US$620 juta telah dikembalikan.

"Tiada bukti bahawa wang itu digunakan untuk mempengaruhi PRU13. Cuma ada bukti wang itu disalurkan untuk pelbagai bahagian UMNO dan usaha tanggungjawab sosial. Kami akan mengambil tindakan terhadap beberapa media kerana menghina," katanya.

Muhammad Shafee juga mengadu mengenai saksi pendakwaan ke-49, Supt Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, 37, telah membuat pelbagai kesimpulan mengenai kes itu dalam pernyataan saksinya.

"Yang Arif, keputusan kes ini harus diputuskan oleh hakim yang mengendalikan perbicaraan dan bukan oleh saksi dalam prosiding. Adalah menjadi kewajipan pihak pendakwaan untuk mengeluarkan kandungan dengar cakap daripada pernyataan saksi.

Beliau berkata pihak pembelaan membantah "kesimpulan" yang dibuat oleh Nur Aida dalam pernyataan saksinya dengan menyatakan anak guamnya telah diprasangka.

Pada ketika ini, Ahmad Akram membantah dengan menyatakan bahawa Nur Aida hanya merujuk kepada laporan yang dibuat kepada suruhanjaya itu pada 2015 yang didakwa dana daripada 1MDB digunakan untuk membeli undi semasa PRU13.

"Justeru laporan media adalah berdasarkan apa yang diperkatakan dalam mahkamah terbuka oleh Nur Aida. Saksi itu hanya memetik laporan rasmi dalam verbatim yang kemudiannya disiasat, oleh itu, kami (pendakwaan) tidak dapat mengawal dan bagaimana media melaporkan.

"Apa yang penting ialah apa yang beliau katakan dalam mahkamah, akhirnya akan menjadi bukti. Beliau hanya merujuk kepada laporan dan membacanya dengan kuat dalam mahkamah terbuka," katanya sambil menambah SPRM terikat dengan undang-undang untuk tidak mendedahkan identiti pengadu sebenar.

Hakim Sequerah telah mengambil maklum semua bantahan yang dibangkitkan oleh peguam dan seterusnya meminta saksi itu menyambung membaca pernyataannya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung Isnin.

-- BERNAMA