KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes ahli perniagaan terkenal Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi yang dijadualkan hari ini di Mahkamah Majistret di sini ditangguhkan ke 31 Okt.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memaklumkan Majistret Nadia Othman bahawa saksi pendakwaan pertama iaitu anak lelaki SM Faisal dan Emilia yang berusia 16 tahun tidak dapat hadir untuk menyambung keterangannya hari ini kerana menduduki peperiksaan.

"Kami tidak dapat memanggil saksi itu kerana dia sedang menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain tidak mahu mengganggu proses (pembelajaran)," kata Nur Aishah.

Beliau berkata pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan dengan saksi keenam iaitu adik kepada Emilia.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal memohon supaya kes ditangguhkan kerana pihaknya tidak menerima pernyataan saksi keenam itu daripada pendakwaan.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 Nov 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA