MALAYSIA
Bidang penterjemahan jadi jambatan perhubungan tamadun - Premier Sarawak

Abang Johari berkata bidang penterjemahan, memainkan peranan yang lebih luas daripada sekadar pemindahan makna antara bahasa. - Gambar fail/Facebook UKAS
KUCHING: Bidang penterjemahan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan tamadun, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta menjadi wahana penting dalam memelihara dan menghargai warisan budaya pelbagai bangsa.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bidang penterjemahan, memainkan peranan yang lebih luas daripada sekadar pemindahan makna antara bahasa.
"Di Sarawak, sebuah wilayah yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan linguistik, bidang penterjemahan mempunyai nilai yang amat tinggi," kata beliau dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohd Razi Sitam.Abang Johari berkata dengan lebih 30 kumpulan etnik yang masing-masing memiliki bahasa dan dialek tersendiri di Sarawak, penterjemahan menjadi alat penting dalam memastikan komunikasi berkesan antara komuniti, selain sebagai mekanisme pemeliharaan khazanah linguistik dan budaya yang unik di wilayah itu.
Abang Johari berkata Sarawak komited memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan, termasuk bahasa dan terjemahan yang dilihat sebagai teras penting dalam ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan, khususnya sektor ekonomi digital dan industri kreatif yang sedang giat dibangunkan.
"Kita harus mengambil peluang dengan mengarusperdanakan identiti budaya Sarawak di mata dunia. Kita bukan sahaja memaparkan bahasa-bahasa unik yang ada di Sarawak, malah dengan bangganya menceritakan siapa kita dengan cara yang difahami pada peringkat global," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Mohd Hata Rasid berkata persidangan tiga hari itu, merangkumi pembentangan kertas dasar, sesi plenari bersama pakar penterjemahan budaya tempatan dan antarabangsa, serta forum melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Beliau berkata penglibatan Majlis Dekan-Dekan Bahasa Universiti Awam, Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia serta Wikimedia Malaysia, bersama pembentang dan peserta dari Malaysia, China, Singapura, Norway, Itali, Korea, Indonesia dan Brunei Darussalam, diyakini mampu memperkaya wacana penterjemahan melalui pelbagai perspektif akademik dan industri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami