Ancaman Nipah: Kelantan perketat saringan di pintu masuk

Saringan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, dan Keselamatan Rantau Panjang, Bukit Bunga, serta Pengkalan Kubor. -Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk utama ke negeri ini sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan virus Nipah (NiV).
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Kelantan melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk utama negeri sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan virus Nipah.
- Saringan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, dan Keselamatan Rantau Panjang, Bukit Bunga, serta Pengkalan Kubor.
- Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, menyatakan bahawa saringan juga dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
"Sebanyak 120 petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran dan jururawat ditempatkan di pintu masuk berkenaan bagi menjalankan saringan termasuk imbasan suhu badan.
"Individu yang dikenal pasti berisiko akan melalui proses temu bual serta saringan lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Program Sihat Itu Saya Peringkat Negeri Kelantan di Gelanggang Tenis Padang Perdana, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata saringan turut dilaksanakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, khususnya membabitkan penumpang penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu.
"Bagi penumpang dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur, saringan telah dilaksanakan oleh petugas Kementerian Kesihatan. Pada peringkat negeri, kita memberikan tumpuan kepada penerbangan antarabangsa secara terus," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya merekodkan rampasan bernilai RM55,213 membabitkan kosmetik tidak bernotifikasi di Kelantan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata penjualan kosmetik tidak bernotifikasi didapati semakin berleluasa, terutama menjelang Aidilfitri, sedangkan produk berkenaan tidak dibenarkan dijual di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Kosmetik 1984.
"Sehubungan dengan itu, jabatan kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan bagi membanteras penjualan produk kosmetik tidak bernotifikasi supaya aktiviti itu dapat diminimumkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan India mengesahkan dua kes jangkitan virus Nipah di negeri West Bengal.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, virus Nipah merupakan penyakit zoonotik yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, selain penularan melalui makanan tercemar dan sentuhan langsung antara individu.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apa tujuan utama pelaksanaan saringan kesihatan di pintu masuk utama negeri Kelantan? A: Saringan kesihatan dilakukan sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan virus Nipah (NiV).
- Q: Berapakah jumlah petugas kesihatan yang ditempatkan di pintu masuk untuk menjalankan saringan? A: Sebanyak 120 petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, dan jururawat ditempatkan di lokasi saringan untuk menjalankan imbasan suhu badan.
- Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Kelantan berhubung dengan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi? A: Jabatan kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan untuk membanteras penjualan produk kosmetik tidak bernotifikasi bagi mengurangkan aktiviti tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

