CADANGAN Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri untuk membuka 'Plaza Low Yat 2' baru-baru ini menerima pelbagai reaksi; termasuk yang menyebut ini satu bukti ada di kalangan Melayu bersifat rasis.

Bagaimana tidak, hanya kerana insiden pergaduhan dan rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat sejak pertengahan Julai lepas yang menyebabkan kecederaan tujuh orang, cadangan itu terus dilemparkan dan tanpa masa lama mendapat sokongan semua Melayu.

Alasannya mudah, ada lokasi khas untuk Melayu sendiri membeli alatan elektronik, telefon bimbit atau apa sahaja gajet dengan harga istimewa dan kononnya tidak lagi ditipu oleh kaum yang lagi satu. Benarkan begitu?

Selama berbelas tahun sebelum insiden, Low Yat sudah terkenal dengan lokasi pembelian barangan komputer dan gajet telefon bimbit, selama ini tidak pernah ada masalah namun tiba-tiba isu timbul, pelik bukan?

Gambar Fail
Kampung Baru merupakan penempatan asal orang Melayu di kawasan Segitiga Emas di Kuala Lumpur. - Gambar Fail

Alasan anak-anak muda mencuri atau ditipu Cina penjual telefon sebenarnya hanya pencetus. Jika benar pemuda ini mencuri, tidak sukar jika mereka yang terlibat ditangkap dan dihantar ke balai polis untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

Seandainya didakwa peniaga ini menipu pula, tidak susah juga untuk pelanggan berkenaan ke tribunal atau agensi berkenaan yang mempertahankan hak-hak pelanggan. Lagipun, sudah lama pepatah 'Pelanggan sentiasa betul' diperkenalkan. Jadi apa salahnya dipraktikkannya sahaja oleh pelanggan yang rasa ditipu. Mudah bukan?

Bagaimanapun, kalau dipetik kata-kata Ismail sendiri, penubuhan Low Yat 2 sebenarnya bukan dianggap langkah rasis kerana fungsi Mara dan Bangunan Mara sememangnya adalah untuk membantu membangunkan ekonomi, pendidikan serta lokasi strategik mencari rezeki untuk kaum Melayu dan bumiputera.

Sehubungan itu jelasnya, mana-mana pihak itu dianggap lebih bersikap perkauman apabila menuduhnya bersifat rasis dengan cadangan Low Yat 2 itu.

Isunya, benarkah peniaga Melayu tidak dibenarkan untuk berniaga di dalam Low Yat atau persaingan harga yang melampau menjadikan Melayu itu sendiri gagal dan takut untuk membuka premis di Low Yat?

Selepas insiden Low Yat, perhimpunan Bersih 4 dan terbaharu, Himpunan Rakyat Bersatu mengambil tempat masing-masing dan diadakan di ibu negara semasa sambutan menjelang Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Kedua-dua himpunan itu mengambil pendekatan masing-masing dengan tujuan berbeza namun ironinya lebih dilihat perhimpunan dua kaum yang mungkin mahu menunjukkan kekuatan dengan cara perarakan di jalan raya.

Ia sebenarnya menyemarakkan lagi api ketegangan kaum di negara kita. Sedar tidak sedar, banyak portal dan blog sudah mula memainkan sentimen itu dan perang propaganda yang mempunyai motif tersendiri mula hebat di laman sosial mahupun aplikasi sistem pesanan WhatsApp.

Namun, kekuatan setiap kaum sebenarnya terletak pada tahap kerjasama dengan setiap kaum lain di dalam sesebuah komuniti.

Gambar Fail
Benarkah peniaga Melayu tidak dibenarkan untuk berniaga di dalam Low Yat atau persaingan harga yang melampau menjadikan Melayu itu sendiri gagal dan takut untuk membuka premis di Low Yat? - Gambar Fail
Teori masyarakat majmuk yang diperkenalkan J.S.Furnivall berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma menyebut, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri.

Furnivall turut menjelaskan, walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli.

Konsep Furnivall ini sebenarnya masih ada kelemahannya.

Kerana itu, konsep masyarakat majmuk yang mungkin kurang lengkap disulam dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak diperkenalkan pada 2 April 2009, ia menekankan idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Di dalam Wikipedia, konsep itu menekankan kepada kerjasama semua pihak untuk menjayakannya sekali gus kesinambungan konsep daripada dua kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jadi apabila Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos dilihat mahu menjadi orang tengah atau apa sahaja wakil untuk merealisasikan himpunan di hadapan Petaling Street, ia dilihat langkah yang melambangkan semangat rasis.

Katalah apa sahaja alasan termasuk tanda membantah kehadiran warga asing yang menjalankan peniagaan termasuk menjual barangan larangan dan tiruan di lokasi berkenaan, ia dilihat masih tidak rasional.

Bukan melindungi kaum Cina namun mereka tidak pernah mengganggu kawasan Melayu (jika boleh dikata) di Kampung Datuk Keramat atau Kampung Baru.

Jauh sekali kaum Cina mahu membuat onar di Brickfields iaitu lokasi kaum India sejak zaman-berzaman lagi.

Gambar Fail
Brickfields atau juga dikenali sebagai Little India sering menjadi tumpuan kaum India di negara ini. - Gambar Fail
Jika jawapan isu yang dilempar sebelum ini mengenai Melayu yang mungkin tidak dibenarkan berniaga di Low Yat, apakah Cina sebenarnya boleh membuka premis perniagaan di lokasi kaum masing-masing seperti di Kampung Baru atau Brickfields?

Syukur juga apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz sudah memberi amaran awal kepada mana-mana pihak agar membuat perhimpunan di lokasi strategik seperti di Padang Merbok atau Stadium Merdeka berbanding di kawasan Petaling Street.

Andai benar Petaling Street itu untuk Cina, Kampung Baru untuk Melayu dan Brickfields untuk India, jadi biarkan lokasi itu menjadi eksklusif untuk kaum-kaum ini sahaja.

Selepas ini, mungkin Ismail harus mempertimbangkan sikap tamak Melayu yang mahu tempat perniagaan sama seperti Cina sekali gus menjadi 'hero' Melayu dalam memperjuangkan lokasi yang Cina ada namun tidak ada kepada Melayu.

Selepas pusat gajet telefon dan komputer Low Yat yang ingin 'diklon' dan ditambah nama kepada Low Yat 2, Ismail kini perlu memikirkan lokasi baharu tumpuan berniaga beg, baju, jam serta aksesori diri khas untuk kaum Melayu pula.

'Datuk, bila pula hendak buka Petaling Street 2?'