Berita Terkini ASEAN25: Timor-Leste sertai ASEAN demi suara serantau, bukan sekadar faedah ekonomi - Gusmao

Gusmao (foto) berkata, keputusan menyertai blok serantau itu dibuat atas kesedaran bahawa kekuatan sesebuah negara kecil terletak pada keupayaannya untuk bekerjasama dalam komuniti yang lebih besar dan berpengaruh. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao menegaskan bahawa penyertaan rasmi negaranya ke dalam ASEAN bukan semata-mata untuk meraih keuntungan ekonomi, sebaliknya bagi memastikan suara Timor-Leste didengari dan dihormati di peringkat serantau serta antarabangsa.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao menegaskan penyertaan negaranya dalam ASEAN bertujuan memastikan suara Timor-Leste didengari di peringkat serantau dan antarabangsa.
- Beliau menyatakan kekuatan negara kecil terletak pada kerjasama dalam komuniti besar yang dihormati dunia, bukan semata-mata untuk keuntungan ekonomi.
- Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, disaksikan pemimpin serantau termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Ia kerana kami ingin menjadi sebahagian daripada komuniti yang besar, yang suaranya mempunyai pengaruh dan dihormati di dunia,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media berkaitan perkembangan serta status penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, hari ini.
Selain itu, penyertaan itu juga mencerminkan keinginan Timor-Leste untuk terus memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda serantau berasaskan perpaduan, keamanan dan kemakmuran bersama.
“Jika kami bersuara sendirian di pentas antarabangsa, ramai yang akan bertanya, siapa kami? Tetapi apabila kami bersuara sebagai sebahagian daripada ASEAN, suara itu akan didengar dan dihormati.
“Timor-Leste tidak jauh daripada rantau ASEAN, baik dari segi geografi mahupun sejarah dan kita merasa dekat dengan Asia Tenggara dan percayalah penyertaan ini adalah pengiktirafan kepada realiti itu,” katanya lagi.
Pada masa sama, Gusmao berkata bahawa Timor-Leste menyifatkan penyertaan dalam ASEAN sebagai peluang memperkukuh hubungan dengan jiran-jirannya seperti Indonesia, Malaysia, dan Filipina yang banyak membantu dalam proses perdamaian dan pembangunan negaranya.
Pada Ahad, Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu kejayaan bersejarah bagi negara muda itu serta blok serantau berkenaan.
Penyertaan itu dimeterai dengan Gusmao menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, disaksikan pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

