NATIONAL
Bilangan jururawat meningkat, KKM perjuang dasar ‘work-life balance’

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap ketika menyempurnakan Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara Putrajaya pada Selasa.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 137,471 anggota jururawat berdaftar setakat Mei 2025, meningkat berbanding 117,759 pada 2024.
Ringkasan AI
- KKM merekodkan 137,471 jururawat berdaftar setakat Mei 2025, meningkat daripada 117,759 pada 2024, tetapi jumlah ini masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.
- KKM komited untuk memperkenalkan ketetapan baharu bagi meningkatkan kebajikan jururawat, termasuk memastikan suasana kerja yang adil dan selamat serta waktu bekerja 45 jam seminggu untuk keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi.
- KKM melancarkan garis panduan baharu untuk program akreditasi kejururawatan dan mengadakan mesyuarat ASEAN untuk memperkukuh pendidikan, kepimpinan, dan mobiliti bidang kejururawatan serantau.
“Pada hujung Mei ini, selewat-lewatnya 1 Jun, kita akan paparkan perumusan yang memastikan suasana kerja adil dan selamat buat jururawat.
“Antaranya menyentuh soal waktu bekerja 45 jam seminggu, supaya ada work-life balance antara tugas profesional dan kehidupan peribadi.
“Banyak benda KKM perlu teliti kerana setiap jururawat ini mempunyai pelbagai skop kerja untuk jabatan berbeza.
“Kita tak mahu ambil keputusan terburu-buru, saya sudah arahkan moratorium terhadap pelaksanaan dasar ini untuk membolehkan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” jelas Dzulkefly.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara Putrajaya pada Selasa.
Tegas Dzulkefly, barisan jururawat berdaftar dan bidan merupakan tunjang utama perkhidmatan kesihatan awam.
“Doktor sepakar mana pun seperti kardiologi tidak akan mampu memenuhi tanggungjawab mereka sekiranya tidak ada jururawat membantu.
“Bagi bidang perbidanan pula, setiap bayi yang tiba ke muka bumi ini akan melihat muka mereka dulu, banyak jasa bidan membantu ibu melahirkan zuriat.
“Kita harus berterima kasih kepada setiap seorang daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, Hari Bidan tahun 2025 diraikan dengan tema ‘Midwives: Critical in Every Crisis’ manakala tema ‘Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies’ bagi Hari Jururawat.
Turut dilancarkan bersama majlis ini adalah Garis Panduan bagi ‘Standard Criteria for Accreditation of Nursing Programme’ Edisi Ke-4
Garis panduan ini ditambah baik bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan dan menyokong piawaian latihan kejururawatan yang lebih inklusif.
Selain itu, sempena Malaysia menjadi kepengerusian ASEAN, KKM menggerakkan Mesyuarat ASEAN Joint Coordinating Committee on Nursing (AJCCN) ke-40.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami