PUTRAJAYA: Bilangan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini meningkat kepada 155 pada 2020 daripada 148 pada 2010, menurut 'Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan' yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut penemuan itu ia berikutan pertambahan semula jadi penduduk, penaiktarafan PBT, pewujudan PBT baharu dan perubahan atau pecah sempadan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata jumlah penduduk PBT adalah seramai 32.1 juta orang berbanding 32.4 juta penduduk Malaysia pada 2020, menunjukkan bahawa 99.1 peratus penduduk diliputi oleh PBT.

PBT terdiri daripada Dewan Bandaraya atau Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan Modified PBT atau PBT diubahsuai iaitu agensi yang diberi peranan mentadbir kawasan khas sebagai kerajaan tempatan, yang ditentukan oleh saiz penduduk dan perolehan pendapatan.

Perbadanan Putrajaya merekodkan taburan penduduk umur termuda tertinggi iaitu 0 hingga 14 tahun dengan 38 peratus manakala Majlis Daerah Kinabatangan mempunyai penduduk umur bekerja tertinggi iaitu 15 hingga 64 tahun dengan 78.8 peratus.

"Majlis Daerah Lenggong dan Majlis Daerah Lubok Antu mencatatkan penduduk warga emas tertinggi iaitu 13.5 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata bilangan tempat kediaman di PBT mencatatkan 9.5 juta dengan 3.9 juta atau 40 peratus di Dewan Bandaraya/Majlis Bandaraya, 3.4 juta atau 36 peratus di Majlis Perbandaran, 2.2 juta atau 22.6 peratus di Majlis Daerah dan 67,000 atau 0.7 peratus di Modified PBT.

"Daripada 9.5 juta tempat kediaman, sebanyak 7.7 juta atau 80.7 peratus adalah tempat kediaman didiami dan baki 1.8 juta atau 19.3 peratus adalah tempat kediaman kosong," katanya.

Menurut Mohd Uzir, mengenai akses kepada fasiliti, 89.6 peratus responden menyatakan bahawa pusat pendidikan terletak lebih dekat berbanding fasiliti kesihatan iaitu 77.2 peratus, balai polis (66.5 peratus) dan balai bomba (47.6 peratus).

-- BERNAMA