Bilangan siswazah meningkat kepada 5.98 juta pada 2024

Peningkatan jumlah siswazah itu didorong oleh keadaan ekonomi dan pasaran kerja yang positif sepanjang tahun lepas. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Bilangan siswazah meningkat kepada 5.98 juta orang pada 2024 manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus sejajar pertumbuhan pasaran buruh yang kukuh, menurut laporan Statistik Siswazah 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ringkasan AI
- Jumlah siswazah meningkat kepada 5.98 juta pada 2024, dengan 5.14 juta aktif dalam tenaga buruh (KPTBS 86%). Pemegang ijazah 54.9%, diploma 45.1%.
- 98 juta siswazah bekerja, 67.8% dalam pekerjaan mahir. Penengah gaji naik 2.5% kepada RM4,521, purata gaji naik 8.1% kepada RM5,330; tertinggi di KL, Putrajaya dan Selangor.
- Kadar pengangguran siswazah turun kepada 3.2% (165,900 orang). Kerajaan komited selaras pendidikan dengan permintaan pasaran dan guna AI untuk tingkat kebolehpasaran.
"Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat sebanyak 5.4 peratus manakala diploma 3.2 peratus, didorong oleh peluang pekerjaan lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata jumlah siswazah bekerja meningkat 4.6 peratus kepada 4.98 juta orang pada tahun lepas berbanding 4.76 juta orang pada 2023, dengan kira-kira dua pertiga atau 67.8 peratus bekerja dalam kategori pekerjaan mahir iaitu seramai 3.38 juta orang melibatkan 57.2 peratus dalam sektor profesional, juruteknik dan profesional bersekutu (24.4 peratus) dan pengurus (18.4 peratus).
Siswazah dalam kategori separuh mahir pula menyumbang 31 peratus atau 1.54 juta orang manakala kategori berkemahiran rendah hanya mewakili 1.2 peratus.
Berhubung gaji dan upah siswazah, Mohd Uzir berkata terdapat peningkatan dengan penengah gaji dan upah bulanan meningkat 2.5 peratus kepada RM4,521 (2023: RM4,409) manakala purata gaji meningkat 8.1 peratus kepada RM5,330 (2023: RM4,933).
"Semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif dalam penengah dan purata gaji serta upah bulanan siswazah pada 2024 berbanding tahun sebelumnya dengan tiga tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM5,888;+3.4 peratus), Putrajaya (RM5,723;+15.3 peratus) dan Selangor (RM5,207;+8.7 peratus).
"Negeri tersebut kekal sebagai pusat ekonomi dan pentadbiran utama negara, menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan gaji yang kukuh dalam kalangan siswazah di kawasan bandar," katanya.
Mohd Uzir berkata KPTBS nasional pada 2024 meningkat kepada 86 peratus dengan enam negeri mencatatkan kadar lebih tinggi berbanding purata nasional 85.7 peratus pada 2023, iaitu Johor (89.6 peratus), Selangor (88.3 peratus), Kuala Lumpur (87.9 peratus), Sabah (87.6 peratus), Labuan (86.9 peratus) dan Putrajaya (86.3 peratus).
Mohd Uzir berkata KPTBS bagi perempuan berada paras 83.4 peratus
Berhubung taraf pekerjaan bagi siswazah bekerja, Mohd Uzir berkata kategori pekerja merupakan penyumbang tertinggi iaitu 86.4 peratus, majikan (5.6 peratus), bekerja sendiri (7.2 peratus) dan baki 0.8 peratus ialah pekerja keluarga tanpa gaji.
Dari segi sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan iaitu 77.6 peratus diikuti pembuatan (13.4 peratus), pembinaan (6.3 peratus), pertanian (1.7 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (1 peratus).
Berhubung situasi pengangguran siswazah 2024, Mohd Uzir berkata ia menurun kepada 3.2 peratus berbanding 3.4 peratus pada 2023, iaitu 165,900 siswazah dengan 91,500 daripadanya lulusan ijazah manakala bakinya diploma.
"Situasi lebih positif ditunjukkan penganggur aktif siswazah dengan 61.1 peratus daripadanya memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan. Namun begitu 14 peratus siswazah masih berada di luar tenaga buruh, antaranya kerana masih belajar atau mengikuti program latihan atau tanggungjawab keluarga," katanya.
Mohd Uzir juga menyimpulkan bahawa pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh sepanjang 2024 walaupun di sebalik ketidaktentuan ekonomi global semasa, dengan kerajaan kekal komited menyokong kebajikan pelajar dan memperkukuh kebolehpasaran siswazah melalui pelbagai inisiatif ke arah pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
"Menuju ke hadapan, usaha untuk menyelaraskan sistem pendidikan dengan permintaan pasaran kerja serta memperluas penggunaan alat pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) akan memastikan siswazah masa hadapan bersedia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berteraskan inovasi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


