Sanggup menemani suami ke pusat hiburan kerana ingin merasai keseronokan selain bimbang lelaki itu berfoya-foya dengan wanita lain.

Itu alasan yang diberikan seorang wanita berusia 39 tahun yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kuah, Langkawi awal pagi tadi.

Dalam serbuan antara jam 2 pagi dan berakhir jam 6 pagi tadi, wanita itu memaklumkan kepada polis dia berkunjung ke kelab malam itu bagi merasai suasana di pusat hiburan.

Pasangan yang mempunyai empat anak lelaki berusia enam hingga 16 tahun itu berkata dia tahu kesalahan dilakukannya namun bimbang suaminya berfoya-foya dengan wanita lain di luar pengetahuannya.

Wanita ini dan suaminya berusia 40 tahun ditahan polis bersama 27 individu lain kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Datang dengan suami, dia bawa datang sini.

"Saya tak minum. Ini kali ketiga (saya datang) sepanjang PKP," kata wanita itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Roszemi Mat Derus berkata kesemua 29 individu terbabit ditahan memandangkan aktiviti pusat hiburan masih belum dibenarkan beroperasi di pulau itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka berkumpul dan tidak mengamalkan penjarakan sosial selain tidak memakai pelitup muka.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut.

Enam daripada 29 yang ditahan dikesan positif dadah jenis methapetamine dan ganja dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(7) PKPP 2020 kerana ingkar PKPP dan dikompaun RM1,000 setiap seorang.

Mereka juga didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020.