KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya merekodkan lebih RM500,000 lonjakan hasil jualan usahawan melalui program bimbingan yang diberikan kepada usahawan Sarawak secara 'one-on-one'.

Seramai 80 usahawan telah menerima bimbingan melalui tiga program iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Spa, INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Bakeri dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, dengan RM509,000 peningkatan hasil jualan dicipta daripada ketiga-tiga program tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin, sebanyak 16 pekerjaan baharu juga dicipta melalui Program IBBC.

"Pendekatan bimbingan oleh pakar industri ternyata amat berkesan kerana mereka juga merupakan usahawan berjaya dalam bidang tersebut. Sebagai contoh, pakar industri bakeri akan membimbing usahawan dalam industri yang sama kerana beliau lebih mahir dan berpengalaman luas dengan selok-belok perniagaan ini.

"INSKEN mewajibkan pakar industri untuk ke premis usahawan di seluruh Malaysia bagi memberikan bimbingan secara bersemuka," katanya dalam satu kenyataan.

Daripada keseluruhan hasil, beliau berkata sebanyak RM398,000 dijana daripada 50 usahawan Program IBBC dan lebih RM111,000 dicatat oleh 30 peserta Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Selain itu, Muhd Firdaus menambah seorang usahawan daripada Program IBBC dan dua daripada Program Keuntungan Menu turut berjaya meningkatkan status perniagaannya daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.

Ujarnya lagi, bimbingan akan diberikan selama empat bulan bagi peserta Program IBBC, manakala tiga bulan untuk usahawan yang menyertai Program Keuntungan Menu.

"INSKEN menjangkakan lebih banyak program akan dilaksanakan di Sarawak selepas Kampus INSKEN Sarawak mula beroperasi pada awal Oktober lalu," katanya.

Maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my dan media sosial rasmi INSKEN.