Pembinaan jalan raya menggunakan campuran getah mampu meningkatkan harga komoditi itu sekali gus membantu pekebun kecil, kata Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LPM) Dr Zairossani Mohd Nor.

Tambahnya langkah itu juga akan menjadikan jalan raya di Malaysia mempunyai kualiti yang tinggi.

“Kini sudah ada perjanjian bersama Thailand dan Indonesia untuk menggunakan dan mempromosi getah dalam pembinaan jalan raya.

“Kalau boleh, kita mahu 300,000 tan getah digunakan untuk bina jalan,” katanya.

Zairossani berkata, di Malaysia secara purata 5 ke 10 peratus jalan daripada 100,000 kilometer keseluruhan, akan diturap kembali setiap tahun.

Justeru jika campuran getah digunakan dalam proses turapan baharu itu, ia akan meningkatkan permintaan sekali gus melonjakkan harga getah.

“Setiap tahun, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menurap 5 hingga 10 peratus daripada 100,000 kilometer jalan raya. Bermakna setahun ada 10 kilometer jalan diturap.

“Jika campuran getah digunakan, untuk setiap 1 kilometer sejumlah 4,000 tan getah beku digunakan. Ini bermakna jika 10,000 kilometer jalan diturap, sejumlah 40,000 tan getah digunakan,” katanya.

Di bawah mesyuarat Majlis getah Tiga Pihak Antarabangsa melibatkan Malaysia, Thailand dan Indonesia, usaha mempelbagaikan penggunaan getah peringkat domestik giat dijalankan.

Tambah Zairossani, penggunaan teknologi berbeza di setiap negara juga menyaksikan penggunaan getah yang berbeza untuk membina jalan.

“Di Malaysia kita menggunakan getah beku, manakala di Thailand mereka menggunakan getah lateks.

“Thailand juga setuju untuk bina 3,000 kilometer jalan menggunakan getah lateks,” tambahnya.

Melalui Belanjawan 2019 kerajaan mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi penggunaan teknologi Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) tertamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat.