MELAKA: Bimbang mata pencarian terjejas, kira-kira 300 nelayan di sekitar perairan Tanjung Kling dan Klebang, Melaka semalam menyuarakan keresahan terhadap projek penambakan laut serta pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter di Tanjung Bruas.

Kata mereka, projek berkenaan hanya akan mengakibatkan kawasan penangkapan ikan semakin mengecil selain berlaku pencemaran laut.

Menyuarakan hal itu, Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, kumpulan nelayan kecewa kerana pihak yang terbabit dengan projek itu tidak pernah berunding dengan mereka sebelum melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Katanya, projek berkenaan akan menjejaskan komuniti nelayan dari empat jeti iaitu Tanjung Kling, Klebang, Balik Bukit, Pantai Kundur dan Sungai Lereh.

“Mata pencarian nelayan ini akan tergugat dengan pembinaan jeti sejauh 600 meter itu. Pembinaan ini menyebabkan kami tidak boleh beroperasi baik ke barat atau ke timur sejauh 600 meter.

“Kami terpaksa mencari rezeki sampai ke Pulau Upeh dan Pulau Besar, iaitu sangat jauh bagi kami.

“Itu pun terdapat projek penambakan pasir di ‘Encore’, Pulau Upeh,” jelasnya.

Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat oleh nelayan Tanjung Kling diketuai Aziz Japar semalam berhubung kerja-kerja penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan itu yang menjejaskan pendapatan mereka.

Rata-rata nelayan ketika ditemui turut menyuarakan kebimbangan dan kata mereka, kehadiran terlalu banyak kapal berhampiran jeti nelayan menyebabkan pukat milik mereka rosak ketika menangkap ikan.

“Kita bukan menolak pembangunan. Namun terlalu banyak nelayan di sini sukar menangkap ikan jika pembinaan ini diteruskan,” luahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin meminta kerajaan negeri campur tangan dalam mencapai suasana menang-menang antara pihak nelayan dan pengendali projek tambakan laut serta jeti itu.

“Diminta kerajaan negeri Melaka campur tangan supaya pihak Tanjung Bruas mahupun komuniti nelayan daripada pangkalan nelayan Klebang sehinggalah Pantai Kundor dapat mencari jalan penyelesaian yang baik untuk kepentingan bersama. Kebajikan serta hak nelayan juga wajar diambil berat,” kata Khairulazni.