Skip to main content

Malaysia

Biografi Tun Tan Cheng Lock dilancar, singkap gagasan 'kesedaran Malaya'

KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Penulis dan penyunting buku, Datin Paduka Tan Siok Choo memegang naskhah buku tulisannya bertajuk 'One Country, One People' - The Life and Legacy of Tun Tan Cheng Lock selepas majlis pelancarannya di TAR UMT  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  KUALA LUMPUR, Aug 27 -- Author and editor Datin Paduka Tan Siok Choo holds a copy of her book, 'One Country, One People' – The Life and Legacy of Tun Tan Cheng Lock, following its launch at TAR UMT, today.  -- fotoBERNAMA (20126) COP
Penulis dan penyunting buku, Datin Paduka Tan Siok Choo memegang naskhah buku tulisannya bertajuk 'One Country, One People' - The Life and Legacy of Tun Tan Cheng Lock selepas majlis pelancarannya di TAR UMT. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Legasi Tun Tan Cheng Lock terus menjadi peringatan penting bahawa Malaysia diasaskan melalui dialog, sikap tolak ansur dan iltizam bersama untuk menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dalam pembentukan sebuah negara.

Bagi memastikan nilai-nilai berkenaan terpelihara, Yayasan Pendidikan TARC dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Press, hari ini melancarkan biografi baharu bertajuk “One Country, One People: The Life and Legacy of Tun Tan Cheng Lock”.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata buku berkenaan mengimbau gagasan Tun Tan Cheng Lock “kesedaran Malaya”, yang menyeru masyarakat di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan supaya tidak terikat dengan asal-usul kaum dan memupuk semangat kebersamaan.

“Pada hakikatnya, ungkapan ‘satu negara, satu rakyat’ bukan sekadar slogan, sebaliknya adalah tanggungjawab yang perlu kita terapkan dalam kehidupan seharian, bukan oleh pemimpin sahaja tetapi setiap kita dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap buku ini bukan sekadar tersimpan dalam rak sebaliknya mampu mencetuskan perbincangan, membuka minda dan mengingatkan kita bahawa usaha membina negara ini masih belum selesai,” katanya berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan di Arena Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC yang juga cucu mendiang Tan, Datin Paduka Tan Siok Choo selain penyelidik, penyunting serta pegawai universiti.

Wee turut menekankan catatan di dalam buku berkenaan mengenai pertemuan bersejarah pada 1955 antara Tan dan tokoh pendidikan Cina di Melaka, yang menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan vernakular di Malaysia.

Sementara itu, Siok Choo berkata usaha menghasilkan buku berkenaan tercetus daripada keinginannya untuk menyelami dengan lebih mendalam kehidupan dan pemikiran datuknya, di samping menangani perdebatan akademik yang berlarutan mengenai sejarah penubuhan MCA.

Beliau berkata bab empat buku itu iaitu Decade of Struggle and the Founding of MCA, mengupas sejarah penubuhan MCA dan mendokumentasikan hasil penyelidikan yang dijalankan bagi membuktikan peranan datuknya dalam penubuhan parti itu tanpa sebarang keraguan.

Siok Choo berkata meskipun tidak boleh bertutur dalam dialek Cina, mendiang dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan keupayaannya menjalin persahabatan dan bekerjasama dengan individu daripada pelbagai aliran politik.

Buku berkenaan boleh dibeli terus daripada UTAR Press, TAR UMT serta pejabat Siok Choo dengan hasil jualannya akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Biasiswa Tun Tan Siew Sin.

Selepas dilancar di ibu negara, siri jelajah pelancaran buku berkenaan akan diadakan di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement