KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan dua lagi bantuan tambahan kepada usahawan kecil dan sederhana di negeri ini menerusi Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang BKSS 7.0 Plus bernilai RM78.5 juta,” katanya lagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dua bantuan tersebut ialah bantuan kewangan RM10,000 sekali beri kepada perniagaan kecil dan sederhana di Sarawak yang aktif namun perlu berdaftar dengan Perkeso pada selewat-lewatnya 31 Mac 2021.

“Bantuan ini akan memanfaatkan 470 entiti perniagaan aktif, dengan kerajaan negeri berbelanja sekitar RM4.7 juta.

“Manakala yang baharu, bantuan kewangan RM3,000 pula, akan diberikan kepada semua usahawan mikro yang berdaftar dengan Perkeso pada 31 Mac 2021.

Bantuan ini katanya, akan dibayar pada Disember 2021 dan memberi manfaat kepada 24,600 usahawan mikro, dengan kos kepada kerajaan sekitar RM73.8 juta.

Turut hadir dalam Majlis Simbolik Penyerahan  BKSS 7.0 ini ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais.

BKKS yang kini memasuki siri ketujuh telah diwujudkan untuk membantu rakyat negeri ini yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Setakat ini, program yang bertujuan menggerakkan semula ekonomi ini telah menelan belanja sebanyak RM5.3 bilion.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, dalam tempoh tiga tahun kerajaan negeri telah berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM6.8 bilion melalui cukai jualan.

“ Tahun baru (depan) kita akan tambah lagi pendapatan. Tapi mesti saya di sia (sebagai Ketua Menteri Sarawak). Orang lain sik dapat,” katanya lagi.