SEGAMAT: Selepas tiga bulan blok bangunan asrama lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan Batu Anam di sini musnah dalam kebakaran, kejadian yang sama berulang, namun kali ini melibatkan blok asrama perempuan pula pada malam Ahad.

Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 malam.

Susulan itu katanya, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat dan BPP Bandar Baru Segamat dibantu lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran bangunan asrama dua tingkat di Blok B asrama puteri di sekolah berkenaan.

"Kebakaran bangunan jenis kekal itu melibatkan satu daripada sembilan bilik asrama keseluruhannya.

"Kebakaran melibatkan sebuah bilik asrama di bahagian bawah yang berkeluasan 15 x 8 meter dan telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bilik tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di BBP Segamat di Jalan Abdullah pada Isnin.

Anggota bomba melakukan pemeriksaan selepas memadamkan kebakaran di blok asrama pelajar perempuan di SMK Seri Kenangan, Batu Anam, Segamat pada malam Ahad. - Foto Sinar Harian

Muhd Hazim berkata, terdapat 18 penghuni ketika kejadian terdiri daripada pelajar perempuan Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima tetapi kesemua mereka berjaya keluar dengan selamat.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Selain kemusnahan ruang bilik asrama, 10 unit katil bertingkat turut hangus dalam kejadian itu," katanya.

Beliau memberitahu, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 9.30 malam. Muhd Hazim berkata, kebakaran itu merupakan kali kedua selepas sebuah blok asrama lelaki sekolah berkenaan turut terbakar pada 2 Julai lalu.

Katanya, kebakaran satu blok bangunan asrama lelaki pada jam 1.53 pagi itu membabitkan dua bilik asrama dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

Seramai 30 pelajar lelaki dilaporkan selamat dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan asrama terbabit.