Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai cukup masa untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Presiden UMNO menekankan supaya ahli UMNO mengembalikan kekuatan UMNO memandangkan masih ada masa.

"Kita ada masa lagi. Persiapan yang kita buat jangan la syok sendiri. Salah satu risiko yang perlu kita hadapi ialah risiko persepsi dan juga realiti. Hari ini persepsi lebih besar daripada realiti.

"Pembangkang perlu buktikan realiti, dia cuma bentukkan persepsi sahaja.Kita perlu fikir bagaimana strategi kita berdepan dengan serangan alam maya ini supaya kedudukan kita ini bertambah lebih baik.

"Kita juga maukan supaya parti kita membuat persiapan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Hulu Selangor di IKBN Pertak, Kuala Kubu Baru di sini, hari ini.


BACA: Kerajaan tingkat penguatkuasaan, perkemas undang-undang SKMM - Najib

BACA: Kerana persepsi, semua tentang 1MDB dianggap buruk - Najib

BACA: "Orang tanya BN boleh menang esok? Saya kata esok bukan PRU" - Ahmad Maslan

Najib turut mengakui beliau pernah ditipu melalui program bersama rakyat yang dihadirinya sebelum ini.

"Saya pernah ditipu. Ada program yang saya hadiri, 30,000 orang datang. Saya punya la seronok. Rupa-rupanya habiskan beras saja. Habis tak jadi apa," tambah beliau.

Justeru, beliau menggesa setiap program perlu diperhalusi dan diperkemas.