Barisan Nasional dijangka akan mengekalkan prestasi yang hampir sama dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Jangkaan itu dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam kajiannya yang terbaru.

Kajian itu dibentangkan oleh Pengarah UMCEDEL, Prof. Datuk Dr. Redzuan Othman di pejabatnya, pada Rabu.

"Keputusan itu bagaimana pun akan ditentukan oleh 21 peratus pengundi di atas pagar iaitu mereka yang belum membuat keputusan," katanya.

Kajian itu juga melihat kepada aspek populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Populariti Najib berada pada tahap 43 peratus, sementara Anwar, 42 peratus" jelas Dr Redzuan ketika mendedahkan hasil kajian mengenai siapa paling layak menjadi PM selepas PRU-13.

Kajian itu dibuat selama dua minggu antara 26 Disember tahun lalu sehingga 11 Januari lepas, melibatkan 1,409 responden di seluruh Semenanjung Malaysia. Ia melibatkan mereka yang sekurang-kurangnya akan mengundi untuk kali pertama dalam pilihan raya.

Kajian itu juga merumuskan Selangor dan Pulau Pinang akan kekal dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

"Sokongan kepada Pakatan Rakyat di Selangor masih kuat kerana antara lain BN belum lagi menamakan calon Menteri Besar sekiranya ia menguasai Dewan Undangan Negeri," katanya.

Penentuan parti mana yang akan menguasai Kelantan pula terbuka dengan sokongan ke atas BN dan Pakatan Rakyat yang hampir setara.

Siapa Pengundi Atas Pagar?

Berdasarkan kajian UMCEDEL, pengundi Cina mendominasi golongan atas pagar yang bakal menjadi penentu kepada keputusan PRU.

53 peratus responden adalah pengundi Cina, diikuti Melayu dengan 37 peratus dan India 10 peratus.

"Lebih separuh daripada golongan atas pagar ini merupakan pengundi berusia 21-30 tahun dan berlatarbelakangkan pendidikan universiti," ujar Redzuan.

Tambah beliau, 37 peratus pengundi Melayu atas pagar majoritinya adalah kakitangan awam dan guru.

BERITA PENUH AKAN MENYUSUL