Barisan Nasional (BN) akan menghubungi parti Gerakan berhubung keputusan parti itu untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan Tugas-Tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana pihaknya masih belum menerima surat rasmi daripada parti tersebut.

"Saya akan minta Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) untuk menghubungi mereka (Gerakan)," kata Zahid.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

BACA: Gerakan umum keluar Barisan Nasional

Apabila ditanya impak keputusan Gerakan meninggalkan BN, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut.

"Kita akan lihat dahulu," jawab beliau ringkas.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa 73 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara telah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.