KUALA LUMPUR: Unit Perisikan Kewangan Bank Negara Malaysia (FIU) menerima kira-kira 250,000 laporan transaksi mencurigakan (STR) pada 2022 iaitu peningkatan hampir 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Timbalan Gabenor Marzunisham Omar.

Beliau berkata, lima risiko jenayah utama iaitu penipuan, rasuah, penyeludupan, pengedaran dadah serta jenayah terancang merangkumi 70 peratus daripada pendedahan FIU yang disalurkan kepada agensi penguatkuasaan serta FIU di peringkat asing.

"Pendedahan itu telah membawa kepada penahanan sebanyak 51 individu, tindakan membeku serta menyita aset yang bernilai melebihi RM570 juta serta memperoleh semula RM372 juta daripada kesalahan berkaitan dengan jenayah terancang dan cukai," katanya ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2023 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Marzunisham berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima lebih 15,000 laporan kes scam atau penipuan membabitkan kerugian RM141 juta sejak dilancarkan pada Oktober 2022.

Polis Diraja Malaysia pula memaklumkan hampir 72,000 kes penipuan yang dilaporkan itu melibatkan kerugian bernilai lebih RM5 bilion sejak dua tahun lepas, katanya.

Di samping itu, beliau berkata Penilaian Risiko Kebangsaan 2020 (NRA 2020) berdasarkan kepada analisis data bagi tempoh 2017 to 2019 turut mendapati bahawa penipuan, rasuah, penyeludupan, pengedaran dadah dan jenayah terancang adalah lima jenayah berisiko tinggi yang memberi ancaman pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas (ML/TF) secara signifikan di Malaysia.

NRA 2020 juga mengesan peningkatan peranan pengupaya profesional dalam usaha melindungi atau menutup jenayah berkaitan.

"Kalangan peguam, akauntan dan setiausaha syarikat disifatkan sebagai profesion berisiko tinggi berikutan peranan mereka sebagai pemudahcara atau pengupaya yang dilakukan menerusi pengurusan kewangan pelanggan, membuka syarikat tidak aktif bagi menyembunyikan aset, mewujudkan struktur individu perundangan yang kompleks serta penyediaan perkhidmatan penamaan bagi mengaburi kawalan atau pemilikan," katanya.

Marzunisham berkata, sebagai sebuah kumpulan, setiausaha syarikat adalah antara tiga sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan dari segi ketetapan untuk keperluan pelantikan pegawai pematuhan.

"Kita mendapati bahawa setiausaha syarikat ini hanya mengemukakan purata 11 laporan transaksi mencurigakan setahun. Ini memberi kebimbangan memandangkan terdapat lebih 4,000 setiausaha syarikat di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, jurang dari segi jumlah serahan sebenar dan jangkaan, turut memaparkan keperluan mendesak untuk kalangan setiausaha syarikat agar lebih berhati-hati dalam mengesan jenayah berisiko tinggi secara lebih efektif.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan peranan rejim antipengubahan wang haram/pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) sebagai amat kritikal dalam menangani jenayah kewangan.

Pada masa sama, usaha membabitkan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) juga membuktikan komitmen Malaysia dalam memerangi jenayah kewangan serta melaksanakan pendekatan AML/CFT secara berkesan, kata beliau.

-- BERNAMA