KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengetahui wang berjumlah AS$700 juta dipindahkan ke sebuah syarikat yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata perkara itu hanya diketahui semasa mesyuarat BOD.

"Ketika mesyuarat itu Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memaklumkan bahawa transaksi AS$700 juta kepada syarikat itu adalah kerana Good Star Limited (syarikat dimiliki Jho Low) adalah gabungan kepada PetroSaudi International Ltd (PSI)," katanya.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata semasa mesyuarat itu juga keseluruhan BOD tidak bersetuju dengan tindakan pihak pengurusan yang telah memindahkan AS$700 juta kepada syarikat Good Star Limited tanpa meminta persetujuan BOD terlebih dahulu.

"BOD juga kecewa dengan pihak pengurusan yang tidak mengendahkan arahan BOD sebelum ini. Namun pada waktu ini, tiada seorang pun di BOD tahu bahawa AS$700 juta yang dibayar oleh 1MDB adalah kepada akaun milik Jho Low (syarikat)," katanya.

BACA: Jho Low individu di sebalik tabir 1MDB - Saksi

Ismee berkata sepatutnya pihak pengurusan 1MDB perlu mendapatkan kelulusan daripada BOD terlebih dahulu berkaitan dengan pemindahan wang berkenaan kerana ia melibatkan impak kewangan kepada 1MDB.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah beliau, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh juga mengarahkan Shahrol Azral untuk pergi berjumpa dengan pihak PSI di London untuk berbincang dan membawa balik wang yang telah dipindahkan itu.

"Pada mesyuarat BOD itu, Mohd Bakke juga sangat marah kerana perjanjian usaha sama (JVA) ini langsung tidak sepertimana yang diluluskan oleh BOD sebelum ini dan beberapa perkara tambahan dimasukkan dalam JVA, nampak seperti ia tidak betul dan ada perkara tersembunyi," kata Ismee.

Menurut Ismee, mereka (BOD) perlu berhati-hati memandangkan ingin menjaga hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Menyentuh mengenai perjanjian usaha sama (JV) antara 1MDB dan PSI, saksi itu berkata, menurut Mohd Bakke ketika Mesyuarat Khas pada 26 Sept 2009, Najib mahu BOD menyegerakan keputusan dan firm up untuk meluluskan cadangan JV berkenaan.

"Sebelum mesyuarat berkenaan, Jho Low memberikan telefonnya kepada Mohd Bakke dan beliau (Mohd Bakke) selaku pengerusi BOD, telah bangun dan memberitahu kepada semua bahawa 'PM call' dan terus beredar untuk menjawab panggilan telefon itu.

"Tak lama kemudian, beliau (Mohd Bakke) kembali dan memberitahu bahawa Najib mahu BOD menyegerakan keputusan dan firm up untuk meluluskan cadangan JV berkenaan," katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA