Ahli Parlimen yang tidak hadir pada persidangan Parlimen yang akan berlangsung selama sehari pada Isnin bakal berdepan dengan kemungkinan hilang kelayakan.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, Ahli Parlimen perlu hadir dan mendaftar walaupun tidak dapat masuk ke dalam dewan ekoran pelaksanaan penjarakan sosial yang hanya mampu menampung kira-kira 70 hingga 80 ahli pada satu-satu masa.

Katanya, kehadiran itu secara sendirinya dikira sebagai menepati peruntukan Perlembagaan yang mewajibkan Ahli Parlimen untuk hadir persidangan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.

"Hanya alasan kukuh berserta bukti sahaja yang akan diambil kira bagi menentukan status mereka sebagai Ahli Parlimen," katanya di Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertua Agong yang tidak dibahaskan, Wan Junandi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata perkara itu tidak seharusnya dipertikai memandangkan titah itu sendiri sudah menjadi panduan dan hala tuju kerajaan.

Katanya pada tahun 1969, Parlimen tidak bersidang selama 22 bulan dari 15 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971 berikutan insiden 13 Mei.

Justeru, katanya dalam keadaan pandemik sekarang meskipun tidak diisytiharkan darurat namun kerajaan mempunyai pilihan untuk tidak mengadakan perbahasan dengan mengambil kira situasi kecemasan yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Junaidi memberitahu, siswazah tidak seharusnya bergantung kepada pengetahuan akademik semata-mata sebaliknya mereka perlu memiliki kemahiran tambahan yang boleh diaplikasikan selepas tamat pengajian.

Ekoran itu, beliau memberitahu, kementerian beliau bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan sedang merangka program usahawan yang turut melibatkan industri makanan.

"Pandemik COVID-19 telah mengajar Malaysia supaya tidak bergantung kepada pengimportan produk makanan dari luar negara," tambahnya.

Katanya, ini kerana ketika dunia berdepan dengan jangkitan COVID-19, banyak negara tidak mahu mengeksport produk makanan.