JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima 1,047 panggilan kes pembakaran terbuka akibat cuaca panas sejak 30 Jan hingga semalam.

Pengarahnya Siti Rohani Nadir berkata daripada jumlah itu, sebanyak 46 panggilan berkaitan kebakaran tanah gambut manakala 1,001 panggilan kebakaran bukan tanah gambut.

"Antara daerah titik panas yang kerap berlaku kebakaran atau 'hot spot' seperti daerah Muar, Pontian, Segamat, Pengerang, Pagoh dan Mersing yang mempunyai kawasan tanah gambut dan kawasan paling tinggi merekodkan kes pembakaran terbuka.

"Sekarang, walaupun sudah memasuki musim peralihan tapi masih berlaku panas luar biasa dan kita masih menerima panggilan berkaitan kebakaran untuk tempoh sehingga semalam dan antara jenis kebakaran berlaku di kawasan seperti belukar, lalang, rumput, hutan, kebun kecil dan juga sampah sarap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri peringkat JBPM Tahun 2024 di Kompleks Komuniti Amart di sini hari ini.

Siti Rohani menyeru semua pihak termasuk pemilik tempat pelupusan sampah supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka di kawasan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang panggilan kecemasan kebakaran disebabkan bunga api atau mercun setakat ini.

Sementara itu, mengenai cuti bagi anggota di seluruh negeri Johor sempena Aidilfitri hanya 30 peratus petugas dibenarkan mengambil cuti.

"Bagaimanapun, sekiranya ada keperluan mendesak, mereka boleh dipanggil bertugas," katanya.

-- BERNAMA