KOTA BHARU: Sebanyak 1,379 kes kebakaran terbuka melibatkan hutan, kebun, belukar dan sampah direkodkan di Kelantan bermula Januari hingga Isnin lepas (6 Mei).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zainal Madasin berkata sebahagian besar kes berpunca akibat cuaca panas dan kecuaian manusia yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka tanpa pemantauan.

Beliau berkata aktiviti pembakaran terbuka di kawasan belukar atau lalang merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,014, diikuti pembakaran di kawasan sampah (128 kes) dan hutan (104 kes).

"Selain itu, sebanyak 39 lokasi panas kebakaran terbuka dikenal pasti melibatkan 12 lokasi di Pasir Puteh, lapan di Bachok, masing-masing enam lokasi di Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang serta satu lokasi di Tumpat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Zainal berkata selain menjalankan rondaan secara berkala, bomba turut memberi nasihat kepada orang awam supaya tidak melakukan pembakaran terbuka di kawasan mereka.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang bertungkus lumus mengawal kebakaran terbuka di dua lokasi iaitu Kampung Kual, Bachok dan Kampung Kulim, Pasir Puteh yang berlaku sejak Feb lepas.

"Kes kebakaran di lokasi terbabit adalah terkawal kerana kawasan yang terbakar kira-kira lima hingga 10 hektar dan dijangka selesai dalam masa terdekat ini," katanya.

-- BERNAMA