KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menubuhkan satu task force Ops Sri PA, untuk memeriksa keselamatan kebakaran ke atas 122 blok perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang berusia lebih 30 tahun.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur Muhammad Salleh Abdul berkata seramai 70 pegawai bomba dengan kerjasama pihak penyelenggaraan DBKL, dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk memeriksa empat zon melibatkan 24 perumahan awam.

"Selain Perumahan Awam Sri Sabah 3A dan 3B, bomba turut mengenal pasti perumahan awam lain seperti Sri Melaka dan Sri Sarawak, serta beberapa lagi.

"Sebarang penemuan atau kelemahan yang ditemui akan dimaklumkan serta tindakan segera akan diambil oleh pihak bertanggungjawab," katanya pada sidang media selepas melancarkan pelaksanaan task force Ops Sri PA, di pekarangan Perumahan Awam Sri Sabah di sini semalam.

Muhammad Salleh berkata tempoh pelaksanaan pasukan petugas ini selama lima hari bermula semalam hingga 29 Feb dengan objektif utamanya memastikan perumahan awam memenuhi keperluan minimum keselamatan kebakaran.

"Kita juga mahu memastikan sistem pepasangan keselamatan kebakaran sedia ada berfungsi dan berada dalam keadaan baik, serta penambahbaikan dalam aspek keselamatan kebakaran berdasarkan peruntukan undang-undang semasa.

"Penubuhan pasukan petugas ini juga, sebenarnya rentetan daripada insiden kebakaran yang berlaku melibatkan lima unit rumah di tingkat 17, Blok 70, Perumahan Awam Sri Sabah pada 11 Feb, selain merangka tindakan proaktif bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Salleh berkata laporan forensik bomba berkaitan kejadian kebakaran di perumahan awam itu telah siap dan akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.

"Laporan itu sudah siap, cuma kita akan maklum secara rasmi nanti kepada pihak media, (kerana) perlu bentang pada jawatankuasa terlebih dahulu," katanya.

-- BERNAMA