ALOR SETAR: Seorang ibu berhadapan detik cemas apabila anak perempuannya berusia tiga tahun terperangkap dalam kereta berdekatan Kompleks Alor Malai, Jalan Langgar, hari ini.

Kanak-kanak perempuan itu dipercayai ditinggalkan sementara oleh ibunya yang berusia 42 tahun sebelum menyedari pintu kereta berkenaan terkunci.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.08 tengahari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Zulkiffli Md Esa tiba di lokasi jam 12.13 tengahari.

"Operasi disertai sembilan anggota dan dua jentera termasuk EMRS.

"Setibanya di lokasi di dapati, kanak-kanak itu terperangkap dalam kereta berkenaan dan anggota kami menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta tersebut yang mengambil masa kurang dari lima minit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kanak-kanak perempuan itu selamat dan diserahkan kepada ibunya sejurus selepas itu.