TAWAU: Bomba menerima dua laporan kejadian gegaran yang dirasai penduduk di Wisma Persekutuan dan Taman Tawau di sini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Madzlan Sarman bagaimanapun berkata setakat ini tiada kerosakan dilaporkan susulan gegaran itu.
“Kami membuat tinjauan sebaik menerima laporan pada 8 pagi tadi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata setakat 11 pagi ini, keadaan air laut dalam keadaan normal dan pihak bomba menjalankan pemantauan di pesisiran pantai, terutama di kawasan penempatan penduduk sehingga amaran tsunami selesai.
“Antara lokasi pemantauan adalah di Jalan Traulsen termasuk Bukit Tinagat. Pihak bomba bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kami juga membuat persiapan di balai bersama Pasukan Polis Marin seperti melibatkan aset bot dan jaket keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama di kawasan pesisiran pantai di bandar Tawau mendapati keadaan agak tenang dan air laut sedang pasang.
Meskipun terdapat beberapa pergerakan bot di laut, polis yang turut menjalankan pemantauan tidak membenarkan orang ramai berada berhampiran pantai ketika ini.
Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pada 7.37 pagi tadi pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.
Berikutan itu, satu amaran tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi dan 12 tengah hari ini.
-- BERNAMA