Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pembinaan pintu berpalang (boom gate) dan pondok pengawal keselamatan di pintu keluar masuk kawasan perumahan adalah sah di sisi undang-undang.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel lima hakim, berkata akses berperaturan ke kawasan yang ditakrifkan bukan satu halangan dalam undang-undang terutama jika ia untuk tujuan keselamatan.

"Ia menjadi sebegitu jika seseorang itu dinafikan akses kepada tempat awam. Ia bukan penghadang yang diletakkan di jalan awam untuk menyekat sama sekali orang yang ingin memasuki kawasan itu," katanya dalam penghakiman ringkas setebal 10 muka surat yang dikeluarkan pada 19 Mac lepas.

Beliau berkata pondok pengawal keselamatan dan pintu berpalang merupakan infrastruktur dibenarkan di bawah Akta Perancangan bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Ia tidak boleh dipertikaikan bahawa komuniti berpengawal merupakan skim yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan awam di kawasan-kawasan perumahan yang ditakrifkan," katanya.

Panel tersebut membuat keputusan itu selepas membatalkan rayuan yang dikemukakan oleh seorang penduduk kawasan perumahan D'Villa Equestrian di Kota Damansara, Petaling Jaya, Au Kean Hoe, yang memulakan tindakan guaman terhadap Persatuan Penduduk D'Villa Equestrian.

Au mendakwa pondok pengawal dan dua pintu berpalang yang didirikan di kawasan perumahan itu harus dirobohkan kerana ia merupakan struktur haram, kacau ganggu dan dianggap satu halangan.

Zulkefli berkata Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ), sebagai pihak berkuasa tempatan dalam kes ini, diberi kuasa undang-undang untuk meluluskan pondok pengawal dan pintu berpalang selaras dengan garisan panduan MBPJ untuk komuniti berpengawal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan pada Mei 2011.

Menurutnya pihak pemaju taman perumahan itu telah memperoleh kelulusan daripada MBPJ untuk pembinaan pondok pengawal tersebut.

Beliau berkata kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat kesimpulan dengan tepat bahawa tuntutan ketidakselesaan bukan perbuatan kacau ganggu boleh dakwa dengan kewujudan pondok pengawal dan pintu berpalang itu.

Pada Ogos 2010, Au berhenti menjadi ahli persatuan penduduk itu dan berhenti membayar yuran penyelenggaraan bulanan sebanyak RM250 pada awalnya sebelum dikurangkan kepada RM200.

Au telah membuat laporan polis dan aduan atas talian kepada MBPJ selepas persatuan penduduk mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 25 Okt 2011, yang menyatakan mereka yang tidak membayar yuran penyelenggaran perlu membuka sendiri pintu berpalang tanpa bantuan pengawal keselamatan bertugas.

Au, selaku perayu, kemudian memulakan tindakan guaman manakala persatuan penduduk itu mengemukakan tuntutan balas atas tunggakan yuran penyelenggaran dan memohon perintah injuksi bagi menghalang perayu daripada dakwaan sering menggangu persatuan dan juga pengawal di pondok kawalan keselamatan.

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan Au tetapi membenarkan tuntutan balas oleh persatuan itu dan mengeluarkan perintah injuksi. Au kemudian gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Au diwakili barisan peguam diketuai Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala persatuan itu diwakili oleh barisan peguam diketuai oleh Datuk Dr Cyrus Das.