MALAYSIA

Bot karam di perairan Langkawi: Kalau dibiarkan mati, itu zalim namanya - Saifuddin

Sinar Harian 10/11/2025 | 22:00 MYT
Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam yang dipercayai membawa pendatang tanpa izin di perairan sempadan Malaysia-Thailand, menemukan lima lagi mayat di Langkawi semalam. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan pencerobohan perairan negara oleh pendatang asing tanpa izin mahupun pemerdagangan manusia.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apabila berlaku insiden kapal karam di perairan negara, fokus utama kerajaan adalah memastikan keselamatan mangsa.

"Pertama, kita tidak benarkan mereka memasuki perairan negara tetapi kalau kalau sudah berlaku insiden macam ini (kapal karam), kerja kita adalah menyelamatkan dulu.

"Ia bukan bermaksud kita benarkan mereka masuk. Apabila bot karam, mereka dibiarkan mati, itu zalim namanya," katanya ketika sidang akhbar Sambutan Hari Anti Pemerdagangan Manusia Sedunia di sini pada Isnin.

Menurutnya, usaha penyelamatan kini dilakukan secara besar- besaran melibatkan aset besar-besaran termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), polis marin dan Jabatan Perikanan, bagi memastikan mangsa yang terselamat atau mayat yang dihanyutkan ke perairan negara dapat diuruskan dengan segera.

"Kawasan pencarian tertumpu seluas 250 batu persegi, dengan fokus utama pada jarak empat hingga lima batu nautika dari Pantai Tanjung Cincin, Langkawi.

"Walaupun insiden kapal karam itu berlaku di luar perairan kita, badan yang dihanyutkan sampai ke negara kita, jadi, tanggungjawab kita adalah menyelamatkan mereka,” jelas Saifuddin.

Beliau menambah, kerjasama serantau turut diperluaskan dengan pihak berkuasa Thailand yang dilaporkan menemui sejumlah mayat, membolehkan maklumat dikongsi untuk mempercepat proses identifikasi mangsa.

“Sejak semalam, kita menemui lima mayat tambahan, selain 20 yang telah ditemui sebelum ini. Usaha pencarian masih diteruskan,” ujarnya.

Mengulas mengenai mangsa yang selamat, Saifuddin berkata, siasatan akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita perlu tentukan sama ada mereka mempunyai dokumen sah atau tidak. Sekiranya tidak, mereka dikategorikan di bawah Akta Kesalahan Imigresen sebagai masuk tanpa dokumen,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, salah satu daripada tiga bot yang membawa kira-kira 300 penumpang PATI disyaki karam di Pulau Tarutao, Thailand berdekatan perairan sempadan negara.

Mangsa terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh disyaki telah membayar sejumlah kira-kira RM13,000 kepada sindiket untuk perjalanan ke Malaysia.

Siasatan awal mendapati semua yang ditahan terdiri daripada etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh.

Katanya, perancangan membawa PATI terbabit masuk ke negara ini dikatakan bermula dua minggu lalu sebelum dipindahkan ke bot kecil berasingan.

Setiap individu dikatakan membayar 400,000 taka (RM13,600) kepada ejen di Myanmar bagi mendapatkan tempat untuk belayar ke Malaysia.

Berdasarkan semakan Maritim, bot yang membawa 70 PATI itu dipercayai pecah dan karam berhampiran Pulau Tarutao.

Setakat jam 5 petang, Ops Carilamat yang digerakkan Maritim menemukan 13 mangsa hidup dan 12 lagi meninggal dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, KDN dalam proses merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2026 - 2030 (NAPTIP 4.0) sebagai kesinambungan kepada kejayaan NAPTIP 3.0.

Pelan baharu itu akan menumpukan terhadap pengenalpastian mangsa dalam sektor berisiko tinggi, peningkatan keupayaan siasatan dan pendakwaan, termasuk melibatkan penjawat awam yang bersalah dan meningkatkan akses jurubahasa dan koordinasi dan pengurusan kes.

“Ia termasuk pemerkasaan peranan kepakaran bantuan mangsa di Sabah dan Sarawak, integrasi data, digitalisasi penguatkuasaan serta standardisasi perlindungan mangsa di seluruh negara.

"Ia turut memantapkan kerjasama rentas agensi dan antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan untuk membina ekosistem respons nasional yang lebih tangkas dan berkesan,” jelas beliau. - Sinar Harian




#Saifuddin Nasution #bot karam #Langkawi #Antipemerdagangan Orang #pendatang asing