Bot karam: Polis, agensi penguatkuasaan tingkat pemantauan di Langkawi

Adzli bercakap kepada pemberita mengenai insiden bot karam melibatkan warga asing yang berlaku berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand hari ini. - Gambar Bernama
SINTOK: Polis dan agensi penguatkuasaan lain akan meningkatkan pemantauan di Langkawi bagi mengesan imigran daripada insiden bot karam berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Ringkasan AI
- Polis dan agensi penguatkuasaan meningkatkan pemantauan di Langkawi selepas insiden bot karam berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
- Sekumpulan 300 pendatang tanpa izin yang karam di perairan Malaysia, sebahagian dari Myanmar, Bangladesh, dan Rohingya, ditemui bersama satu mayat wanita Rohingya.
- Mangsa yang ditemui tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, sindiket dipercayai memilih Langkawi sebagai destinasi dan ada yang membayar RM13,000 kepada sindiket untuk perjalanan tersebut.
"Tetapi, kita masih jalankan siasatan kerana maklumat yang diberikan oleh mereka ada sedikit berbeza, kerana ada yang kata kapal bawa 300 orang karam manakala yang lain maklum mereka dipindahkan ke tiga bot kecil yang mana salah satunya telah karam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-38 di sini, hari ini.
Adzli berkata pihaknya percaya mangsa lain sama ada masih hidup atau sebaliknya akan ditemui tiga hingga tujuh hari lagi.
"300 orang (yang menaiki sebuah kapal dan karam) itu mungkin tidak sahih, kalau betul mungkin sekarang sudah ramai mangsa yang dijumpai. Jadi, siasatan lanjut sedang dilakukan.
"Kita juga sedang mengenal pasti dalang yang membawa mereka masuk ke sini dan saya telah berhubung dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (untuk) kenal pasti di mana kedudukan bot berkenaan karam," katanya.
Beliau berkata buat masa ini kesemua yang ditemui ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Dalam pada itu, Adzli berkata pihaknya percaya sindiket memilih Langkawi sebagai destinasi untuk membawa kesemua pendatang tanpa izin tersebut.
Beliau berkata soal siasat awal juga mendapati ada antara mereka yang membayar wang berjumlah 400,000 BDT atau kira-kira RM13,000 kepada sindiket berkenaan.
Katanya, ada antara pendatang tanpa izin yang menyatakan keluarga mereka akan membuat bayaran selepas mereka selamat tiba di destinasi.
"Mereka mahu datang ke sini untuk membina kehidupan baru hingga sampai sanggup jual rumah dan haiwan ternakan. Mereka perlu membuat bayaran dahulu, baru dibenarkan untuk menaiki kapal," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


