KUALA LUMPUR:S. Umashangari mula belajar "membaca" ketika usia 7 tahun dan lantas jatuh cinta dengan perkataan serta penulisan.
Namun, pada usia 8 tahun, beliau kehabisan bahan bacaan.
Ini kerana beliau dilahirkan cacat penglihatan dan bahan bacaan yang diterbitkan dalam tulisan Braille amat terhad sekali.
Umashangari, 34, belajar mengenali kombinasi titik Braille yang membentuk simbol dan huruf ketika memulakan Darjah 1 di Sekolah Rendah Pendidikan Khas St. Nicholas Home di Pulau Pinang.
"Menjelang Darjah 2, saya sudah menguasai tulisan Braille tetapi sukar untuk mendapatkan bahan bacaan. Ia sangat mengecewakan kerana saya tidak dapat menikmati pelbagai karya fiksyen seperti rakan-rakan yang lain.
"Ketika itulah saya berjanji kepada diri sendiri akan menterjemahkan buku ke dalam tulisan Braille apabila dewasa nanti supaya tidak ada orang lain yang merasa hampa dan ketinggalan seperti saya," ujar Umashangari kepada Bernama.
Beliau percaya memberikan akses bahan bacaan yang lebih baik kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan adalah elemen penting dalam pemerkasaan dan kejayaan mereka.
"Saya percaya dengan menguasai dan memperbanyakkan bahan bacaan Braille akan membantu komuniti kami keluar dari kepompong persepsi yang kononnya orang buta hanya mampu menjual tisu di jalanan dan tidak boleh membaca apatah lagi berjaya," jelas Umashangari.
Hari ini, wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya ini sudah menterjemah lebih 10 buah buku untuk komuniti OKU penglihatan.
Antaranya buku teks Sains Pertanian, Asas Sains Komputer, Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu, Pendidikan Moral serta Sains.
Bagaimanapun, semangat yang dilontarkan Umashangari bagaikan tidak bersahut.
Statistik menunjukkan hanya kira-kira 30 peratus daripada sejumlah 51,540 golongan OKU penglihatan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh membaca tulisan Braille.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), George Thomas berkata, kebanyakan golongan OKU penglihatan yang tidak mahir membaca dan tidak mengenali tulisan Braille adalah mereka yang hilang penglihatan ketika sudah dewasa akibat penyakit atau kemalangan.
"Golongan ini bergantung kepada penggunaan aplikasi serta teknologi sepenuhnya, tidak seperti individu yang mengalami kecacatan penglihatan sejak lahir yang lazimnya dihantar mempelajari tulisan Braille di sekolah pendidikan khas," katanya.
Menurut George lagi, tahun 2020 menyaksikan seramai 2,562 pelajar OKU penglihatan mempelajari tulisan Braille melibatkan 38 kanak-kanak prasekolah, 1,147 murid sekolah rendah dan 1,377 pelajar sekolah menengah.
Namun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia merencatkan proses pembelajaran kerana keterbatasan fizikal tidak membolehkan sesi pembelajaran diadakan secara dalam talian.
Mengulas lanjut mengenai tulisan Braille, George berkata, meskipun Malaysia dilihat mendahului negara Asean dalam aspek pendidikan tulisan Braille, namun komuniti ini tidak terlepas daripada dihantui isu hakcipta dan kos penghasilan bahan bacaan Braille.
"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menterjemah sebarang bahan untuk dijadikan bacaan Braille dan tidak semua pihak bersetuju karya mereka diterjemahkan malah banyak pula kerenah birokrasi terpaksa dilalui.
"Penghasilan bahan bacaan Braille lebih rumit. Penterjemah perlu menyalin semula semua perkataan dan gambar rajah dari sumber asal secara manual, jadi bayangkan berapa lama tempoh diperlukan untuk menterjemah sebuah buku jika ketebalannya 30 hingga 40 muka surat," jelas George.
Katanya lagi, kos penghasilan buku Braille juga lebih tinggi kerana memerlukan mesin cetak khas, menggunakan helaian kertas lebih tebal 120gsm (gram setiap meter persegi) berbanding buku biasa (60-80gsm).
Malah, jumlah helaian muka surat akan menjadi lebih banyak kerana faktor saiz tulisan Braille yang besar dan serta jarak lebih luas antara baris perkataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia, Silatul Rahim Dahman pula berpendapat, penggunaan tulisan Braille seharusnya diletakkan sebagai salah satu medium komunikasi penting bagi komuniti OKU penglihatan.
"Braille terbukti membantu kejayaan baik dari aspek sosio-ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan juga politik. Kita tidak mahu ia pupus ditelan arus teknologi," katanya.
Jelasnya lagi, dari aspek isu semasa pula pihaknya melihat terdapat kelompongan yang gagal diisi pihak berwajib serta agensi berkaitan dalam menyalurkan maklumat kepada komuniti OKU penglihatan terutama melibatkan pandemik COVID-19.
Tidak ada langsung penggunaan tulisan Braille di dalam pengedaran bahan maklumat berkaitan COVID-19 sehingga memaksa golongan OKU penglihatan bergantung kepada orang sekeliling untuk membacakan berita dan informasi berkaitan pandemik itu kepada mereka, jelas beliau.
"Kita ini seolah-olah dianggap kebal pula dari COVID-19. Hal ini cukup membimbangkan malah sehingga hari ini saya fikir SOP (prosedur operasi standard) bagi orang buta pun tiada, walhal kami juga berisiko dijangkiti apatah lagi bergantung deria bau dan sentuhan untuk mengesan sesuatu rintangan di sepanjang laluan," katanya.
Silatul Rahim turut menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap waris kepada golongan warga OKU yang acuh tidak acuh mengenai proses mendaftarkan jagaan mereka kepada JKM.
Beliau menggesa kerajaan menyemak semula Akta Orang Kurang Upaya 2008 sekali gus mewajibkan pendaftaran anak-anak kurang upaya bagi tujuan menambah baik rekod dan statistik kerajaan agar lebih tepat sekaligus memudahkan urusan saluran bantuan dan faedah kepada komuniti terbabit.
"Saya lihat tiga faktor utama menyumbang kepada perkara ini ialah isu peribadi, faktor geografi yang menyukarkan mereka melakukan proses pendaftaran serta dasar kerajaan tidak mewajibkan pendaftaran ini," ujarnya. - BERNAMA
Bernama
Mon Jan 04 2021
Antara peralatan yang digunakan dalam pembikinan buku dalam format tulisan braille di Kompleks Bangunan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Kuala Lumpur. Gambar BERNAMA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus pada November 2024 - MAA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus tahun ke tahun kepada 67,523 unit pada November 2024, susut daripada 73,262 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Pesaka sasar tujuh pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024
Pesaka meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi.
MRA salur bantuan banjir bernilai lebih RM429,000
Sumbangan itu merangkumi bantuan makanan, bukan makanan dan perkhidmatan.
300 stesen pengecasan EV akan ditambah dalam tempoh dua tahun - Ab Rauf
Kerajaan Melaka cadang tambah hingga 300 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Tumpuan Sabtu – 14 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (13 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Braille: Titik-titik yang menyinari kehidupan OKU penglihatan
Braille terbukti membantu kejayaan baik dari aspek sosio-ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan juga politik.