MALAYSIA
BRICS, rakan kerjasama perlu segera wujud pekerjaan, teknologi untuk golongan bawahan - Liew

Liew (foto) berkata Malaysia mengangkat tema "Keterangkuman dan Kemampanan" selaras dengan visi MADANI dan pelaksanaan NIMP 2030 yang menekankan inovasi, pelepasan karbon sifar dan keselamatan ekonomi. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: BRICS dan negara rakan kerjasamanya perlu menumpukan kepada misi kolektif untuk mewujudkan teknologi dan pekerjaan serta kesejahteraan bagi golongan bawahan penduduk dunia, dan usaha ini memerlukan tindakan segera.
Ringkasan AI
- Malaysia menyeru BRICS dan negara rakan untuk fokus kepada penciptaan teknologi, pekerjaan dan kesejahteraan golongan bawahan secara kolektif dan segera.
- Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengangkat tema "Keterangkuman dan Kemampanan" selaras dengan visi MADANI dan pelaksanaan NIMP 2030 yang menekankan inovasi, pelepasan karbon sifar dan keselamatan ekonomi.
- Malaysia berhasrat beralih daripada model "Buatan Malaysia" kepada "Jenama Malaysia" yang melahirkan syarikat multinasional tempatan berasaskan teknologi dan inovasi.
"Misi ini termasuk peningkatan kompleksiti dalam gabungan industri negara kami yang akan menghasilkan lebih banyak aktiviti tambah nilai dan pengekstrakan nilai serta memperkukuh penerimagunaan teknologi seperti pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan.
"Dua lagi misi adalah menuju pelepasan karbon sifar bersih untuk mencapai matlamat iklim di samping membangunkan ekonomi kami serta memastikan keselamatan ekonomi untuk semua supaya manfaat pembangunan dapat diagihkan secara meluas bagi keharmonian masyarakat dan pembangunan insan," katanya.
Liew berkata demikian semasa Forum BRICS mengenai Perkongsian dalam Revolusi Industri Baharu 2025 dan Forum Usahawan Pusat Inovasi PartNIR BRICS di Xiamen, China pada Selasa.
Beliau berkata Malaysia berhasrat untuk beralih daripada model "Buatan Malaysia" yang secara asasnya pengilangan kontrak untuk syarikat multinasional kepada pendekatan "Jenama Malaysia" yang akan melahirkan syarikat multinasional tempatan dipacu inovasi teknologi.
"Misi dan aspirasi ini bukan sahaja untuk Malaysia. Kami percaya semua negara membangun berkongsi matlamat yang sama seperti yang dicerminkan dalam Visi Komuniti ASEAN 2045," katanya.
Liew berkata dunia sedang memasuki sebuah fasa baharu dalam sejarah.
"Pada 2045 kelak, jika kita mengimbas semula kita mungkin akan menyimpulkan 2025 adalah tahun penting apabila dunia berubah haluan -- sama seperti 2001 apabila peristiwa 11 September berlaku dan tindak balas Amerika Syarikat yang telah membentuk landskap geopolitik selama 20 tahun, serta penyertaan China dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah membentuk perdagangan global selama dua dekad.
"Kita kini berada dalam detik bersejarah, dengan negara-negara Selatan Global perlu mewujudkan permintaan melalui pekerjaan, mencipta teknologi serta mengekalkan keamanan dan kesejahteraan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami