KUCHING: Bridged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat perancangan rapi bagi melaksanakan operasi-operasi yang akan digerakkan sepanjang tahun 2022.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Saini Bongkek berkata konsep penugasan yang dirancang akan diselarikan dengan keadaan semasa serta sumber manusia PGA yang bersedia.

Jelasnya, bagi kawalan keselamatan sempadan melalui Op Benteng COVID-19, operasi akan dibuat menggunakan kekuatan maksimum dengan kaedah ‘Batalion Move’.

“Selain itu menerusi pendekatan Community Policing keselamatan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sempadan akan dititikberatkan dan para petugas PGA akan sentiasa mendampingi mereka terutamanya di kawasan tanggungjawab Hot Spot OP Benteng COVID di sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Kita berharap agar pendekatan baru ini akan menjadikan masyarakat di sempadan berasa selamat dengan kehadiran petugas PGA di samping kawalan keselamatan sempadan dapat diperketatkan dan dikawal rapi setiap masa,” katanya kepada Astro Awani pada Sabtu.

Tambah Saini, Briged Sarawak PGA sentiasa komited dalam melaksanakan amanah yang telah diberi walaupun tahun 2021 merupakan 12 bulan yang agak mencabar buat pasukannya.

“Walaupun terikat dengan SOP pandemik COVID-19 semasa melaksanakan operasi penguatkuasaan, kita masih mampu menjana pencapaian yang cemerlang disebabkan antaranya perancangan sumber manusia yang rapi, latihan-latihan dalam norma baharu dan komitmen petugas PGA itu sendiri.

“Selain itu juga, kerajaan negeri Sarawak banyak memberi bantuan kepada pihak PGA khususnya dalam melaksanakan penugasan di sempadan negeri Sarawak melalui sumbangan logistik.

“Bantuan ini serba sedikit telah berjaya mengurangkan tekanan kepada para petugas PGA terutamanya berkaitan tempat penginapan dan kekangan peralatan sokongan semasa menjalankan penugasan di lapangan,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang tahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021, Bridged Sarawak PGA telah berjaya melaksanakan empat operasi utama melibatkan nilai rampasan sebesar RM49,555,570.57 juta lebih RM10 juta berbanding tahun sebelumnya.

Empat operasi tersebut melibatkan Op Benteng COVID-19, Op Kontraban, Op Libas dan Op Bersatu Khazanah dengan 439 kes secara keseluruhan.

PGA juga berjaya mengusir seramai 974 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kembali ke negara asal mereka sepanjang 12 bulan Op Benteng COVID-19 dilaksanakan antaranya melibatkan kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan di daerah Serian, Lundu, Tebedu, dan Lubok Antu.