MELAKA: Sebuah kilang elektronik berasaskan semikonduktor didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pencemaran sisa kimia ke dalam Sungai Melaka, tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas Syntronixs Asia Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Yong Kuan Ho, 53, mengaku bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, kilang berkenaan didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawaian B seperti mana ditetapkan ke dalam perairan pedalaman, yang mana kandungan Biological Oxygen Demand (BOD) mempunyai kepekatan tinggi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 11.10 pagi hingga 1 tengah hari pada 18 Ogos 2022 di No 8722, Plot 8, Kawasan Perindustrian Bebas Batu Berendam, Mukim Bachang, dalam daerah Melaka Tengah.

Kilang tersebut didapati melepaskan BOD sebanyak 77 miligram per liter (mg/l) melebihi had dibenarkan iaitu 50 mg/l seperti ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindusrian), 2009 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Jika sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Melaka Elbyta Rozana Mohd Hatta, mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat dan pemain industri lain, kerana ia kesalahan kali keempat dilakukan syarikat itu.

Beliau berkata syarikat itu sebelum ini telah didenda keseluruhan sebanyak RM85,000 pada 2010, 2018 dan 2020, kerana didapati melakukan kesalahan di bawah peraturan sama.

Sementara itu, peguam Christal Wong yang mewakili Yong, memohon mahkamah mengurangkan denda kerana OKS mengaku bersalah seterusnya menjimatkan masa dan kos.

Hakim kemudian mengarahkan OKS membayar denda RM30,000 selepas OKS mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

-- BERNAMA