Peniaga didakwa subahat beri rasuah RM32,000 kepada pembantu pendaftaran JPN

Yap Foo Siong didakwa bersubahat dengan seorang lelaki dengan memberikan suapan wang tunai tersebut kepada pembantu pendaftaran JPN, sebagai upah untuk membantu proses permohonan sijil kelahiran. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan bersubahat memberikan rasuah berjumlah RM32,000 kepada pembantu pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung permohonan sijil kelahiran.
Yap Foo Siong, 58, didakwa atas lima pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki dengan memberikan suapan wang tunai tersebut kepada pembantu pendaftaran JPN, Putrajaya sebagai upah untuk membantu proses permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu iaitu dokumen daftar kelahiran JPN dan surat pengesahan bersalin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 dan sebuah restoran di Putrajaya antara 30 Mei dan 21 Sept 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Asmaa' Zamri menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM, Selangor dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam P.Vitiya Monisha memohon jaminan antara RM5,000 hingga RM6,000 kerana anak guamnya menanggung keluarga selain hanya bekerja sebagai peniaga.
"Anak guam saya memberikan kerjasama baik kepada pihak SPRM dan tiada risiko untuk dia melarikan diri," katanya.
Hakim Suzana Hussin membenarkan Yap diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


