Skip to main content

Malaysia

Buat laporan polis palsu pembantu gerai burger didenda RM500

laporan polis palsu, parit, bernama
Mohd Azlan didenda RM500 selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalan susulan kejadian curi pada Isnin lepas. - Foto Bernama

PARIT: Seorang pembantu gerai burger didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalan susulan kejadian curi pada Isnin lepas. 

Majistret Nurul Izalina Rajaai menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azlan Mat Rahim, 40, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya, dan memerintahkan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan. 

Advertisement

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat laporan palsu di Pejabat Kaunter Aduan Balai Polis Seri Iskandar dalam daerah Perak tengah kira-kira 10.30 pagi, 2 Mac lepas. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Syukri Abdul Talib yang memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran. 

Bagaimanapun, peguam Noor Shafarin Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda ringan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan empat anak, pendapatan harian sekitar RM40 dan kehilangan kad pengenalan itu adalah benar.

Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan berkaitan kejadian curi dompet, namun pihak polis mendapati terdapat keraguan, dan siasatan lanjut mendapati lelaki itu kehilangan kad pengenalannya sejak 28 Feb lepas.

Tertuduh membuat laporan palsu itu bagi mengelakkan dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara sekiranya ingin mendapatkan kad gantian, memandangkan ini kali kedua dia kehilangan kad itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video