KOTA BHARU: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Begitulah perumpamaan kehidupan bagi ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan yang kritikal disyaki diberi dadah jenis Methamphetamine, di Kuala Krai dekat sini, pada Ahad.

Wanita berusia 36 tahun yang juga penghidap kanser payudara tahap lima ini tidak mampu menyembunyikan kesedihannya apabila melihat anak bongsunya terpaksa ditidurkan sejak petang Isnin.

"Melihat keadaannya begini, hati saya semakin sayu," katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, malam ini.

Jenayah | Kanak-kanak 3 tahun kritikal, dadah dalam badan

BACA: Budak 3 tahun kritikal telan dadah

Wanita berkenaan, tidak menyangka keadaan anaknya sangat kritikal biarpun selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Doktor kata lambat lagi anak saya akan sedar, dia telah diberikan ubat tidur petang tadi," katanya yang mengakui anaknya itu turut mengalami masalah kesihatan sebelum ini.

Pada Isnin, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan berada dalam keadaan kritikal selepas pihak hospital menemui dadah dalam badannya di Hospital Gua Musang, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan, susulan itu bapa saudara mangsa yang berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil soal siasat, suspek mengaku membawa anak saudaranya ke tempat yang dipercayai 'port' dadah.

Media juga melaporkan ibu kanak-kanak itu tidak mengetahui sepupunya itu membawa keluar mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu kira-kira jam 2 petang Ahad.

Sementara itu, mengulas lanjut, ibu kanak-kanak berkenaan yang tinggal bersama ibu bapanya berkata, kehidupan mereka sangat sukar dengan hanya mengharapkan pendapatan bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

"Sebelum ini, saya mengharapkan bantuan agensi kerajaan yang diberikan sebab menderita penyakit kanser payudara selama enam tahun. Namun, bantuan itu dihentikan sejak bulan Disember tahun lalu.

"Jadi kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan ayah saya sahaja.

"Kehidupan kami memang sangat susah saya juga turut memerlukan wang rawatan susulan untuk kanser pada setiap bulan di mana ia menelan perbelanjaan yang agak besar bagi kami yang tidak mempunyai apa-apa," katanya.

Tambahnya, dia juga berharap agar ada pihak dapat membantu meringankan beban keluarganya bukan sahaja membabitkan kewangan, tetapi juga sokongan buat mereka meneruskan kelangsungan hidup.