KUALA LUMPUR: Semua segmen masyarakat termasuk kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, komuniti, sektor swasta, media dan anak muda harus berganding bahu menjadikan budaya membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan rakyat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030 tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu gerakan nasional yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat.
“Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sekadar membaca lebih banyak, tetapi membaca untuk memahami, berfikir, menilai dan mencipta.
“Bangsa yang membaca ialah bangsa yang berilmu, bangsa yang berilmu ialah bangsa yang berdaya saing, dan bangsa yang berdaya saing akan menentukan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Hari Literasi Antarabangsa hari ini.
Aaron berkata Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kekal komited memperluas akses rakyat kepada ilmu dan maklumat menerusi pelbagai perkhidmatan serta program galakan membaca.
Beliau berkata perkhidmatan PNM terus diperkasa merangkumi perkhidmatan rujukan, pinjaman dewasa dan kanak-kanak, pinjaman perpustakaan komuniti, pinjaman berkelompok, sumber elektronik, hadiah dan pertukaran, dana penulis, latihan industri, program galakan membaca, program literasi media dan maklumat, sudut maklumat orang kurang upaya (OKU), klinik jawi, u-pustaka serta perkhidmatan manuskrip Melayu.
Beliau berkata usaha mendekatkan ilmu kepada rakyat turut dilaksanakan melalui 506 Perpustakaan Desa di bawah kelolaan kerajaan Persekutuan, khususnya bagi memperluas akses kepada komuniti di seluruh negara
“Pada masa yang sama, program galakan membaca dan literasi media serta maklumat akan terus diperkasa supaya masyarakat bukan sahaja gemar membaca, malah mampu menilai maklumat dengan bijak, bertanggungjawab dan beretika dalam era digital,” katanya.
Aaron berkata sambutan Hari Literasi Antarabangsa mengingatkan bahawa literasi bukan sekadar kebolehan membaca dan menulis, tetapi asas kepada ilmu, pemikiran kritis, pembelajaran sepanjang hayat serta keupayaan seseorang untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Sempena Hari Literasi Antarabangsa ini, marilah kita membudayakan membaca, memperluas ilmu dan menjadikan literasi sebagai kekuatan untuk membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, inklusif dan bersatu. Selamat Menyambut Hari Literasi Antarabangsa,” katanya.
Hari Literasi Antarabangsa disambut pada 8 Sept setiap tahun sejak diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1966.
-- BERNAMA