Budaya tolak rasuah, salah guna kuasa jadi teras kepimpinan ATM - Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara, hari ini. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menekankan budaya menolak rasuah dan nilai integriti sebagai teras kepemimpinan ATM.
- Seri Paduka Baginda menyeru warga ATM untuk mengekalkan disiplin tinggi serta menolak rasuah sebagai budaya kerja demi kedaulatan negara.
- Seri Paduka Baginda juga menasihati kepemimpinan ATM untuk mengutamakan kebajikan anggota dan mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara.
"Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara," titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Seri Paduka Baginda menzahirkan titah nasihat berkenan semasa menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara, di sini hari ini.
Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengingatkan kepemimpinan tertinggi ATM supaya sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan seiring dengan cabaran keselamatan semasa.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa Malek Razak mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
Malek Razak, yang sebelum ini Panglima Medan Barat Tentera Darat, dilantik sebagai PAT ke-24 berkuat kuasa pada 1 Feb lepas.
Beliau berkelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan daripada King's College London dan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


