MALAYSIA
BUDI95: ATM hargai akses awal, ringankan kos sara hidup anggota

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata inisiatif itu dijangka meringankan beban kos sara hidup kira-kira 120,000 anggota ATM. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan berikutan pengumuman inisiatif penyasaran subsidi di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Ringkasan AI
- ATM menyambut baik inisiatif BUDI95 yang memberi akses awal subsidi petrol RON95 kepada 120,000 anggota ATM bermula 27 September, tiga hari sebelum pelaksanaan rasmi pada 30 September.
- Harga RON95 untuk rakyat Malaysia ditetapkan pada RM1.99 seliter dengan had 300 liter sebulan, manakala penjimatan hasil penyasaran akan diagihkan semula melalui STR dan SARA.
- Panglima ATM menegaskan inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pasukan keselamatan, sekali gus meningkatkan moral dan komitmen anggota dalam mempertahankan negara.
“Pengumuman oleh Perdana Menteri yang memberikan akses lebih awal kepada warga ATM mencerminkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam menjaga kebajikan dan moral pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi kedaulatan tanah air,” katanya menerusi kenyataan media yang disiarkan pada Isnin
Di bawah program ini, warga ATM bersama seluruh rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga semasa RM2.05 seliter, dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan.
Nizam turut menyatakan komitmen ATM dalam melaksanakan amanah dalam mempertahankan negara.
“ATM amat menghargai keprihatinan dan sokongan padu Kerajaan Malaysia terhadap kebajikan warganya dan akan terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, penjimatan hasil penyasaran kepada BUDI95 akan diagihkan semula demi manfaat rakyat, antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pada 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami