MALAYSIA
BUDI95 kawal ketirisan, jamin kesejahteraan rakyat - MoF

Pada Isnin, Kerajaan MADANI mengumumkan semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan siling kelayakan bulanan 300 liter petrol bersubsidi memadai untuk majoriti rakyat, termasuk pekerja yang berulang-alik sejauh 200 kilometer setiap hari.
Dalam satu kenyataan, MoF menjelaskan, siling kelayakan bulanan itu ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
"Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, insiatif itu juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.Pada Isnin, Kerajaan MADANI mengumumkan semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
MoF turut menyatakan, Kerajaan juga akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter bagi melindungi kesejahteraan rakyat.
"Sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia, telah direka dan diteliti agar proses ini tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, langkah berkenaan akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun yang akan dimanfaatkan terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bagi memudahkan rakyat menyemak profil kelayakan serta baki penggunaan kelayakan bulanan, Kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9.00 pagi hari Khamis, 25 September 2025.
Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal ini.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595, juga mulai 9.00 pagi hari Khamis, 25 September.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami