[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

BUDI95: Kelayakan tambahan pemandu e-hailing berdasarkan penggunaan

Bernama 08/10/2025 | 11:01 MYT
Amir Hamzah bercakap pada Majlis Peluncuran Laporan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kelayakan bagi kuota tambahan di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pemandu e-hailing dan p-hailing akan ditentukan berdasarkan tahap penggunaan bahan api masing-masing, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


Ringkasan AI
  • Kelayakan kuota tambahan BUDI95 untuk pemandu e-hailing dan p-hailing akan ditentukan berdasarkan tahap penggunaan bahan api; pengumuman rasmi dijadual pada 15 Oktober.
  • Kerajaan teliti data penggunaan daripada syarikat e-hailing melalui APAD bagi memastikan subsidi disalurkan tepat kepada pemandu sepenuh masa yang menggunakan minyak lebih banyak.
  • Subsidi bersasar BUDI95 membolehkan lebih 16 juta rakyat menikmati harga RON95 RM1.99 seliter berbanding RM2.60 tanpa subsidi; pemandu e-hailing tidak perlu mohon individu kerana permohonan dibuat secara berkelompok melalui pengendali.


Bercakap kepada media selepas Majlis Peluncuran Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 di sini hari ini, beliau berkata maklumat lanjut berkenaan perkara itu akan diumumkan pada 15 Okt ini.

"Kita telah beri jaminan bahawa apabila kita sampai ke pertengahan bulan ini, 15 Okt, (pemandu) e-hailing dan p-hailing akan mendapat kelayakan di bawah BUDI95 yang akan ditetapkan.

"Kalau mereka ialah pemandu sepenuh masa yang menggunakan minyak lebih banyak, kelayakannya akan dinaikkan," katanya.

Amir Hamzah yang juga Menteri Ekonomi berkata kerajaan telah menerima sebahagian data daripada syarikat e-hailing menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan maklumat tersebut sedang diteliti bagi memastikan proses penyaluran subsidi dapat dilaksanakan dengan tepat.

"Saya belum melihat laporan penuh yang telah diserahkan oleh APAD kepada MOF (Kementerian Kewangan), tetapi boleh kiralah daripada data APAD menyatakan seorang membawa 5,000 kilometer dan anda boleh kira berapa banyak kelayakan lebih dia (pemandu) perlu.

"Yang penting ada bukti dia betul-betul menggunakan apa yang sepatutnya dia guna, tak nak bagi kelayakan lebih (tetapi) dia tak pakai tapi benda lain yang berlaku," katanya.

Menerusi subsidi bersasar BUDI95, lebih 16 juta rakyat menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

Terdahulu, MOF dalam kenyataan pada 1 Okt lepas memaklumkan bahawa pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu, sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi permohonan secara berkelompok.

-- BERNAMA



#BUDI95 #pemandu e-hailing #Amir Hamzah Azizan #subsidi #kuota