MALAYSIA

BUDI95: PM Anwar tempelak pihak kritik pelaksanaan subsidi RON95

Umavathi Ramayah 26/09/2025 | 03:20 MYT
Perdana Menteri Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di Putrajaya, pada Jumaat. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak termasuk seorang pendakwah selebriti yang mengkritrik pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI RON95 (BUDI95) tanpa memahami rasional di sebaliknya.

Menurut Perdana Menteri, sistem yang diperkenalkan kerajaan itu memberi faedah kepada majoriti besar rakyat dan tidak wajar dituduh sebagai menzalimi golongan tertentu.

Anwar turut mendedahkan, terdapat individu yang menggunakan alasan perjalanan dakwah untuk mempertikai dasar tersebut, walhal perbelanjaan perjalanan mereka dibiayai orang lain.

"Syukur Alhamdulillah, mana ada sistem sempurna. Apa pun sistemnya, ia memberi manfaat kepada majoriti besar rakyat. (Tetapi) saya lihat ada seorang ustaz, pendakwah, yang kata ini zalim dan tidak faham rakyat. Dia marah betul.

"Ada kawan hantar kepada saya (rakaman) ustaz ini. Saya dengar, memang semua bagus, tetapi dia kata setiap kali pergi berdakwah, minimum 600 kilometer.

"Orang bayar, bukan percuma, sebahagian kita bayar, sebahagian orang lain bayar. Dia tidak fikir (soal itu). Saya bersimpati," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini tular tangkap layar hantaran didakwa seorang pendakwah selebriti yang mempersoalkan mengenai pelaksanaan subsidi RON95 dengan kuota 300 liter setiap individu bagi setiap bulan.

Bagaimanapun, pendakwah tersebut dipercayai menurunkan hantaran tersebut setelah menerima kritikan pelbagai pihak di ruangan komentar.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, subsidi BUDI95 hanya ditujukan untuk rakyat Malaysia dan bukannya warga asing.

Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan keluarga, masyarakat dan rakyat negara ini mendapat manfaat penuh daripada subsidi yang disalurkan.

"Kenapa kita tak mahu warga asing dapat? Sebab mereka bukan rakyat kita. Tanggungjawab kita adalah kepada keluarga, masyarakat dan negara kita. Warga asing pula tidak membayar cukai seperti kita. Oleh itu, kita tidak boleh samakan,” katanya.

Menurut Anwar, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang menyamakan warga asing di Malaysia dengan pelancong luar negara.

"Ada orang keliru. Warga asing di Malaysia bermaksud mereka yang tinggal dan bekerja di sini, walaupun ada kenderaan berdaftar di negara ini.

"Manakala pelancong luar yang masuk dengan kenderaan asing, mereka memang kena bayar harga RON97. Itu beza yang orang kena faham," jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa subsidi RON95 sudahpun meringankan beban rakyat secara signifikan walaupun harga hanya berkurang beberapa sen.

"Kalau kita bagi kepada semua termasuk warga asing, ia akan menambah beban besar kepada kewangan negara. Sebab itu kita perlu ada mekanisme kawalan seperti kad dan pendaftaran,” katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter kepada rakyat Malaysia bermula Selasa depan.

Pelaksanaan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kestabilan sistem.





#Anwar Ibrahim #pendakwah #BUDI95 #subsidi