BUDI95: Skim kelayakan berperingkat pemandu e-hailing diaktifkan pertengahan setiap bulan - MoF

Data jarak perjalanan akan disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak berdasarkan laporan bulanan daripada EHO. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Skim kelayakan berperingkat di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Ringkasan AI
- Skim kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-panggilan akan diaktifkan pertengahan bulan bagi memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan dengan teliti.
 - Pemandu e-panggilan yang memandu kurang daripada 2,000 km akan menerima 300 liter subsidi, manakala melebihi 5,000 km akan mendapat 800 liter sebulan.
 - Pemandu teksi lapangan terbang boleh memohon kad flit untuk subsidi sehingga 800 liter RON95 setiap bulan, dengan limousin lapangan terbang tidak layak memohon.
 
"Mereka yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer (km) akan menikmati 300 liter asas, manakala jarak 2,000 hingga 5,000 km layak menerima tambahan 300 liter (jumlah keseluruhan 600 liter)," menurut kenyataan MOF hari ini.
Pemandu yang melebihi 5,000 km pula akan menerima tambahan 500 liter, menjadikan keseluruhan 800 liter sebulan.
Data jarak perjalanan akan disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak berdasarkan laporan bulanan daripada EHO.
"Penetapan nilai ambang baharu diturunkan daripada 3,000 km kepada 2,000 km serta penambahan kategori melebihi 5,000 km dibuat selepas kajian oleh MOF terhadap corak perjalanan dan penggunaan sebenar subsidi pemandu e-panggilan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bagi pemandu teksi lapangan terbang, syarikat pengendali boleh memohon kad flit di bawah Skim Kawalan Petrol dan Diesel Subsidi kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menikmati hingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.
Bagaimanapun, limousin lapangan terbang yang tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak memohon di bawah skim berkenaan.
Maklumat lanjut berhubung kriteria tambahan BUDI95 akan diumumkan oleh APAD dan LPKP, manakala permohonan kad flit boleh dibuat melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-panggilan yang layak hingga 800 liter sebulan, tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.
Anwar berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti rayuan pemandu e-panggilan berdasarkan kegunaan sebenar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


