KUALA LUMPUR: Notis Panggilan Mesyuarat perlu segera dikeluarkan untuk memastikan pembukaan segera Parlimen menjelang penamatan darurat pada 1 Ogos depan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, ia selari dengan panggilan mesyuarat di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang difahamkan sudah mula dimaklumkan.

Justeru beliau berpendapat bahawa persidangan Parlimen akan diadakan sejurus selepas 1 Ogos itu.

"Kita tahu dalam setiap sidang Parlimen ia perlu diberikan notis dan notis yang perlu ditetapkan oleh Peraturan Mesyuarat harus dalam tempoh 28 hari.

"Jadi saya fikir kalau notis ini boleh dikeluarkan sesegera mungkin hari Isnin ini, 21 Jun notis dikeluarkan, justeru kita boleh bersidang paling awal pada minggu ketiga Julai.

"Jadi saya fikir ini perlu disegerakan dan saya percaya Parlimen sebagai satu cabang yang penting selain eksekutif dan juga kehakiman maka sewajarnya bertindak mengikut apa yang telah disarankan atau diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus sedia bersidang selewat-lewatnya minggu ketiga sesuai dengan notis 28 hari yang tersedia di dalam peraturan mesyuarat.

"Sebab kalau kita lihat di negeri-negeri lain, kalau kita tengok di Perlis akan bersidang pada 24 Ogos, Pahang difahamkan pada 16 Ogos, Selangor dalam bulan Ogos juga," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

BACA: DUN tidak perlu tunggu Dewan Rakyat untuk bersidang - Pakar Perlembagaan

BACA: 
Istana Negara muat naik grafik Titah Agong tentang sesi Parlimen

Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pada 16 Jun berkata, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Beliau berkata, Raja-raja Melayu bertitah bahawa perkara itu penting bagi menghormati mekanisme semak dan imbang sebagai antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.