KUALA LUMPUR: Serangan perisian intip dikenali sebagai 'spyware' tidak hanya memberi risiko kepada produk Apple, sebaliknya ia juga mampu mengancam keselamatan pengguna peranti Android.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Sirajuddin Jalil berkata teknologi yang diguna pakai bagi pembangunan 'spyware' bukanlah seperti virus biasa, yang mampu disekat oleh aplikasi antivirus dalam pasaran.

Jelas beliau, serangan berkenaan mampu mengatasi tahap keselamatan siber Apple bagi tujuan mendapatkan maklumat-maklumat penting. 

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Apple adalah bagi melindungi pengguna Apple itu sendiri dan itu tanggungjawab yang dibuat oleh pihak syarikat Apple.

"Tetapi 'spyware' ini mampu memberi kesan kepada semua peranti, baik Android mahupun Apple.

".... dan kebolehan 'spyware' yang digambarkan oleh pihak Apple ini, ia mampu mengumpul maklumat seperti perbualan kita melalui mesej, gambar, data-data lain dalam Note yang disimpan dalam peranti, atau video yang mungkin bersifat sensitif," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Semalam, Pusat Koordinasi dan Bilik Kawalan Siber Nasional (NC4) dalam satu kenyataan mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus berjaga-jaga susulan wujud perisian pengintip sofistikated yang menyasarkan pengguna peralatan Apple melalui Apple ID mereka.

Menurut kenyataan itu, ancaman itu antara lain menyasarkan individu seperti wartawan, diplomat, aktivis dan ahli politik.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata jika berlaku kecurian maklumat akibat serangan 'spyware', ia dibimbangi menyebabkan kesan rantaian seperti kecurian identiti.

Selain itu, katanya ia turut memberi ancaman kepada pencerobohan maklumat-maklumat sulit perbankan yang diakses melalui aplikasi kewangan seperti kata laluan atau 'username'.

"Jadi kita berharap dalam negara kita, figura politik terutamanya kena berhati-hati sebab antara potensi lain yang mampu dibuat oleh 'spyware' antara lain adalah menghidupkan fungsi mikrofon dan kamera.

"(Situasi itu boleh berlaku) walaupun kita tidak menghidupkan mikrofon dan kamera (kerana melalui 'spyware'), mikrofon dan kamera itu dapat dihidupkan secara jauh," tambah beliau.

Justeru itu, Sirajuddin berharap rakyat Malaysia wajar melaksanakan amalan keselamatan siber kendiri, dengan sekurang-kurangnya mula menggunakan antivirus dalam peranti telefon pintar masing-masing.

Langkah tersebut, jelas beliau sekali gus boleh meningkatkan kesedaran pengguna tentang aspek keselamatan siber dan memastikan generasi-generasi muda lebih selamat dalam ruang siber.

Pada 12 April, Apple memberi amaran kepada para pengguna di 92 negara di seluruh dunia mengenai kemungkinan  serangan 'spyware', dengan penyerang cuba 'mengakses iPhone'.