KUALA LUMPUR: Bukan hanya Kementerian Pendidikan menyediakan program Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) malah beberapa kementerian lain turut melakukan perkara sama.

Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk Mohamad Alamin berkata, antaranya ialah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menawarkan beberapa program di universiti dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Banyak kementerian sediakan program sama, untuk mengangkat TVET ini menjdai pilihan dan disukai anak-anak kita. Kalau saya bagi contoh, KPT sendiri tawarkan beberapa program.

“KPLB melalui MARA, ada Giat MARA, kita ada politeknik juga dan ada banyak lagi. Ini antara usaha berterusan kerajaan merentasi kementerian.

“Jadi saya ingat program TVET yang diperkenalkan kerajaan akan mampu menjadi salah satu pilihan utama pada masa akan datang, selaras dengan keperluan IR4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambah daripada Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang - Sri Gading) berkaitan TVET di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sektor pertanian juga diberikan perhatian bahkan ia mula diperkenalkan di peringkat sekolah lagi.

“Kita juga di peringkat sekolah, sudah disediakan modul khusus untuk sektor pertanian. Ini adalah usaha kita tetapi banyak lagi perkara lain dijalankan dalam usaha ini.

“Saya yakin dengan usaha yang ada ini mampu menjadikan sektor pertanian menjadi satu sektor yang diminati anak-anak kita pada masa akan datang,” ujarnya.