DIBERI peluang untuk membuat pilihan adalah perkara yang menyenangkan. Namun adakala membuat pilihan bukanlah perkara yang senang dan kadang kala menyeret kita ke jalan kebuntuan.

Menjalani kehidupan tanpa diberi peluang membuat pilihan adakala tidak dapat dipertemukan dengan episod kebahagiaan. Menjalani kehidupan dengan diberi peluang untuk membuat pilihan juga adakala dipertemukan dengan episod kesedihan.

Tenyata dalam kehidupan ini ada perkara yang kita diberi peluang untuk membuat pilihan dan sekali-sekali peluang membuat pilihan tidak dapat ditawarkan. Contohnya sebagai seorang wanita yang beragama Islam adalah menjadi kewajipan untuk menutup aurat dengan sempurna meskipun tiada ketetapan atau perincian berhubung apakah jenis pakaian yang diwajibkan untuk melaksanakan tuntutan menutup aurat. Terdapat leniency di situ di mana wanita diberi kebebasan untuk memilih jenis fabrik, warna ataupun fesyen yang boleh digayakan selagi mana ia melitupi seluruh tubuh badan kecuali bahagian-bahagian tubuh badan yang bukan aurat. Dehijabing adalah bukan pilihan dan dilarang, malah ianya tidak boleh dilakukan kerana akan mendapat dosa.

Di samping itu, satu lagi contoh berkaitan ialah kita tidak boleh memilih siapa ibu bapa kandung kita. Namun kita boleh menukar nama dan warna rambut kita hatta menukar wajah kita juga adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dilakukan. Sejauh mana kita mencuba, secanggih mana teknologi dan sehebat mana justifikasi namun hakikatnya kita tidak boleh memilih siapa ibu bapa kita. Ada kemungkinan kita berupaya untuk menidakkan siapa ibu bapa kita dengan pelbagai hujahan dan boleh memanipulasi undang-undang bagi memuaskan hati kita, walakin kita tetap tidak boleh memilih siapa ibu bapa kita.

Menjadi baik adalah suatu pilihan, menjadi jahat juga adalah suatu pilihan. Menjadi rajin adalah suatu pilihan, menjadi malas juga adalah suatu pilihan.

Walau bagaimanapun ada perkara-perkara yang kita boleh pilih namun dibatasi oleh beberapa faktor lain contohnya menjadi bijak pandai bukanlah satu pilihan kerana tidak semua manusia dilahirkan dengan kapasiti dan kondisi yang sama. Namun berusaha untuk menjadi bijak pandai adalah suatu pilihan dan tidak menggerakkan sebarang usaha juga adalah suatu pilihan.

Kita semua diperuntukkan jumlah jam yang sama dalam sehari, jumlah hari yang sama dalam sebulan dan jumlah bulan yang sama dalam setahun. Apa yang membezakan kita ialah bagaimana kita memilih untuk mengoptimumkan masa yang ada dengan mentransformasikan hari kita daripada hari yang biasa kepada hari yang luar biasa dan memberi manfaat. Pilihan di tangan kita. Jika kita sentiasa mengeluh dan tidak berbuat apa-apa, maka hari kita akan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pencapaian ataupun ketenangan. Sebaliknya jika kita sentiasa positifkan diri dan menggunakan peluang yang ada maka kita akan lihat keberhasilan yang diinginkan lahir daripada pilihan kita.

Memang benar tidak semua manusia melayari kehidupan dengan pukulan badai, karam di tengah lautan dan tersadai di tepian pantai. Ada manusia mampu sampai ke destinasi seperti mana rancangan perjalanan. Ada manusia terlarat dan mempunyai kudrat untuk mengemudi perahu hingga sampai ke pelabuhan. Ada juga manusia yang tidak terdaya untuk meneruskan pelayaran walaupun tidak perlu mengemudi perahu kerana menggunakan kapal pelayaran.

Dalam setiap pilihan yang dibuat kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan risiko. Ada keputusan yang dibuat hanyalah sia-sia sahaja dan tidak memberikan sebarang hasil atau kepuasan. Di sinilah pentingnya kita menimbang tara setiap pilihan yang kita akan buat dengan membuat sedikit homework agar tidak tersilap langkah. Kendatipun kita tersilap langkah, kita tetap boleh memilih untuk tidak terus membiarkan diri kecundang dan bangkit melawan kekalahan.

Kelayakan akademik, pengalaman dan tilikan bukanlah suatu jaminan bahawa pilihan yang kita buat itu adalah pilihan yang paling bertepatan dan bersesuaian. Adakala pilihan yang "not favor" yang membuahkan kejayaan. Adakala pilihan yang dibuat berdasarkan naluri hati semata-mata lebih banyak memberi merit dan kebaikan. Sesungguhnya tiada satu kayu pengukur ataupun standard rules yang boleh diikuti dalam membuat pilihan. Mungkin ia berkesan bagi situasi ini namun tidak berkesan bagi situasi lain.

Semoga kita semua menjadi manusia yang sentiasa dapat membuat pilihan terbaik dan meminimakan sebarang kekurangan atau kerosakan. Pada masa kini dunia memerlukan lebih ramai manusia yang memilih untuk menjadi baik walaupun dalam keadaan ditekan atau terdesak.  Ketahuilah bahawasanya dengan memilih untuk menjadi baik pasti akan ada habuan ataupun ganjaran di akhirnya dan menjadi contoh teladan yang baik pada anak cucu kita.


* Penulis merupakan seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI