SEPANG: Bukan mudah bagi syarikat penerbangan untuk memanipulasi harga tiket penerbangan ketika musim perayaan untuk mendapat manfaat daripada inisiatif subsidi kerajaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata proses audit secara menyeluruh dilaksanakan untuk menyemak tuntutan daripada syarikat penerbangan, manakala harga dipantau oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

"Kami tahu setiap penerbangan tertentu, berapa banyak tempat duduk dijual pada harga berapa dan anda (syarikat penerbangan) tidak boleh sesuka hati menaikkan harga kerana mereka mempunyai algoritma dan mekanisme harga.

"Mereka tidak boleh menaikkan harga dan tuntutan daripada kerajaan. Tidak, ia tidak akan berlaku seperti itu," katanya pada sidang media, selepas mengumumkan harga tiket tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak untuk sambutan Tahun Baharu Cina akan datang di sini hari ini.

AirAsia menawarkan tambang tetap untuk penerbangan ke Sabah pada RM348 sehala dan ke Sarawak pada RM298. Tempoh tempahan bermula hari ini hingga 15 Feb, dan tempoh perjalanan adalah dari 5 Feb hingga 15 Feb.

Loke berkata AirAsia menuntut RM2 juta daripada kerajaan untuk inisiatif subsidi sempena Krismas tahun lepas, yang memberi manfaat kepada 5,000 penumpang, dan kerajaan membelanjakan purata RM400 sebagai subsidi bagi setiap penumpang di AirAsia dalam tempoh itu.

Pada 15 Dis tahun lepas, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi subsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 untuk perjalanan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan, selama tiga hari sebelum musim perayaan utama termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas.

Sementara itu, Loke berkata tiada peruntukan tambahan untuk pelaksanaan inisiatif subsidi itu, kerana dana yang digunakan adalah daripada peruntukan simpanan dan yang tidak digunakan di Kementerian Pengangkutan, tahun lepas.

"Tiada peruntukan tambahan jika anda meneliti Bajet 2024. Tiada peruntukan khusus untuk inisiatif ini, tetapi (kami) menemui cara kreatif untuk melakukannya. Kami mempunyai dana untuk menyokong inisiatif ini," katanya.

-- BERNAMA