JOHOR BAHRU: Mahkamah syariah negeri ini akan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat sebelum kebenaran berpoligami diberikan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah tersebut bagi memastikan alasan berpoligami itu relevan.

“Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana lelaki untuk berpoligami.

“Namun mereka (para suami) dinasihatkan untuk berbuat demikian menggunakan saluran disediakan iaitu dengan membuat permohonan di mahkamah syariah.

“Poligami bukan soal izin isteri tetapi lebih tepat adalah kebenaran perintah mahkamah.

“Selepas (mahkamah syariah) meneliti semua keperluan, permohonan secara baik kepada mahkamah menunjukkan suami adil dan menghormati isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Amalan Guaman Syarie di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Ahad.

Mohd Fared memberitahu, dalam setiap permohonan berpoligami melalui proses mahkamah, si isteri akan dimaklumkan, malah dipanggil untuk memberi pendapat berhubung permohonan suaminya serta penilaian akan dibuat kemudian.

Jelas beliau, tiada halangan untuk mana-mana lelaki berpoligami sekiranya mereka mampu berlaku adil dan memenuhi syarat ditetapkan.

“Ia adalah untuk memastikan hak dan kesejahteraan semua pihak terbela,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata, pihaknya sudah meluluskan 93 permohonan berpoligami di Johor sepanjang tahun lalu.

“Sepanjang tahun 2022, kita telah terima 93 permohonan daripada suami untuk berpoligami dan selepas pemeriksaan kriteria dibuat, kesemua permohonan tersebut diluluskan.

“Mahkamah setakat ini tidak berada dalam posisi menolak selagi mana pemohon layak untuk berpoligami.

“Langkah berkenaan dibuat bagi mengelak sebarang permasalahan daripada berbangkit pada kemudian hari,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, seramai 197 peguam syarie diberi pentauliahan dalam majlis tersebut yang membenarkan mereka memberikan perkhidmatan guaman kepada rakyat di Johor. -Sinar Harian